About TerusanIlmu

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera (^_^).
Di TerusanIlmu anda boleh mendapatkan rujukan artikel secara percuma
Semoga perkongsian bermanfaat.


tamu d'terusan

Salam D'terusan..Hi!!

Friday, 15 February 2013

Kajian mengenai suku bangsa atau etnik melayu dan hubungannya dengan rumpun bahasa Melayu


1.0      Pengenalan

Lakaran peta dunia dalam karya Ptolemy (c. AM 90 – c. 168), Geographia ada menyatakan tentang sebuah tanjung di Aurea Chersonesus (Semenanjung Tanah Melayu) yang diberi nama Maleu-kolon, dipercayai berasal dari perkataan Sanskrit Malayakolam atau Malaikurram. Menurut G. E. Gerini, Maleu-Kolon merujuk kepada Tanjung Kuantan hari ini sementara Roland Bradell mendakwa ia berada di Tanjung Penyabung, kedua-duanya di Semenanjung. Pada tahun 1850, seorang ahli etnologi Inggeris, George Samuel Windsor Earl mencadangkan agar kepulauan Indonesia dinamakan Melayunesia atau Indunesia ketika mengarang Journal of the Indian Archipelago and Eastern Asia (Jurnal Kepulauan Hindia dan Asia Timur).
Beliau menggemari Melayunesia demi kemudahan pihak kolonial. Berikutan ekspedisinya di Oceania pada tahun 1826, pelayar Perancis, Jules Dumont d'Urville mencipta istilah Malaysia, Micronesia dan Melanesia untuk membezakan budaya dan gugusan kepulauan Pasifik daripada istilah Polynesia yang sedia ada. Pada tahun 1831, beliau mengusulkan istilah-istilahnya kepada Société de Géographie (Persatuan Geografi). Dumont d'Urville menyifatkan Malaysia sebagai "kawasan yang lebih dikenali sebagai Hindia Timur".
Ketika itu, adalah dipercayai bahawa kesemua penduduk kawasan berkenaan boleh dipanggil "orang Melayu" sama sekali, selaras dengan konsep kaum Melayu ketika itu, yang bertentangan dengan takrifan masa kini yang memerikan "Melayu" sebagai kelompok etnik yang seragam budayanya, bertutur bahasa Melayu dan tinggal di pantai timur Sumatera, Kepulauan Riau, Semenanjung Tanah Melayu dan pesisiran pulau Borneo. Istilah "Dunia Melayu" pula digunakan sebagai gelaran kepada keempat-empat kawasan tersebut pada keseluruhannya iaitu bersinonim dengan Nusantara

2.0            Kelompok Etnik


Kelompok etnik ialah kelompok manusia yang anggotanya mengaitkan diri melalui sesuatu warisan sepunya, baik warisan yang benar mahupun yang dianggap. Identiti etnik dipupuk dengan membezakan kelompok diri daripada kelompok yang lain menerusi sifat-sifat seperti budaya, bahasa, agama, dan tingkah laku. Proses yang melahirkan pengenalpastian sebegini dikenali sebagai etnogenesis. Keetnikan ialah satu cara yang penting bagi manusia mengaitkan diri. Menurut sidang "Cabaran Mengukur Sebuah Dunia Etnik: Sains, Politik, dan Kenyataan"  yang dianjurkan bersama-sama oleh Statistik Kanada dan Biro Banci Amerika Syarikat (1-3 April 1992), "Keetnikan ialah faktor asas dalam kehidupan manusia: ia merupakan fenomena yang sebati dalam pengalaman manusia".
Bagaimanapun, banyak ahli sains sosial seperti ahli antropologi Fredrik Barth dan Eric Wolf tidak menganggap identiti etnik sebagai sejagat. Sebaliknya, mereka mendakwa bahawa keetnikan merupakan satu hasil daripada jenis interaksi antara kelompok yang tertentu, bukan satu sifat sebati yang asas dalam kelompok manusia. Pada keseluruhannya, anggota sesebuah kelompok etnik mendakwa kesinambungan budaya melalui masa. Sungguhpun demikian, ahli sejarah dan ahli antropologi budaya telah memerhati bahawa seringnya, banyak daripada nilai, amalan, dan norma yang dikatakan membayangkan kesinambungan dengan zaman lampau sebenarnya merupakan suatu rekaan yang agak baru.

 

3.0            Definisi “Melayu"

 

Melayu  merujuk kepada kumpulan etnik dari bangsa Austronesia yang sebahagian besarnya mendiami Semenanjung Tanah Melayu termasuk bahagian-bahagian paling selatan Thailand, pantai timur Sumatra, pesisir pantai Borneo, dan pulau-pulau yang lebih kecil yang terletak di antara lokasi-lokasi ini. Kumpulan etnik Melayu berlainan dari konsep Rumpun Bangsa Melayu[1], yang merangkumi kumpulan manusia yang lebih luas, termasuk kebanyakan etnik di Indonesia dan Filipina. Bahasa Melayu ialah anggota keluarga bahasa Austronesia.














Rajah 3(a): Negara yang tergolong ke dalam bangsa Austronesia

4.0        Perkembangan Sejarah Bangsa Melayu

4.1          Bangsa Gunung

Perkataan Melayu berasal daripada perkataan malaiur atau malayadvipa dalam bahasa Sanskrit yang mungkin membawa erti "tanah bergunung"; perkataan tersebut digunakan oleh para saudagar India sebagai gelaran untuk Semenanjung Tanah Melayu. Dalam bab 48 dari teks agama Hindu Vayu Purana, ada dinyatakan satu perkataan Sanskrit Malayadvipa[2] (secara harfiah: “benua bergunung-ganang”), yang merujuk kepada salah satu wilayah di kepulauan timur yang penuh dengan emas dan perak. Di situ letaknya sebuah bukit bernama Malaya dan juga gunung besar yang digelar Mahamalaya.
Orang Melayu juga pernah dirujuk sebagai orang Kun-lun dalam beberapa catatan China. Istilah Kunlun pada asalnya digunakan untuk merujuk kepada banjaran gunung yang terbentang melangkaui sebahagian besar wilayah Tibet dan utara India. Ia kemudiannya digunakan oleh orang Cina zaman dahulu sebagai rujukan kepada semua bangsa berambut hitam kerinting yang tidak bertamadun dari gunung-gunung dan hutan-hutan terpencil. Orang Vietnam, orang Champa dan Khmer pernah digelar sebagai orang Kunlun oleh orang Cina sebelum istilah ini digunakan pada orang Melayu. Pada tahun 750, Jianzhen (688-765) menyatakan kehadiran ramai "orang Brahmin, Parsi dan Kunlun di Guangzhou". Buku Tang merekodkan "setiap tahun, para saudagar Kunlun datang dengan kapal-kapal mereka dengan barang-barang bernilai untuk berdagang dengan orang Cina"

4.2        Kerajaan Mo-Lo-Yu


Dalam catatan I-Tsing (seorang sami Buddha Dinasti Tang), yang melawat Kepulauan Melayu di antara tahun 688 - 695, beliau ada menyebut tentang sebuah kerajaan bernama Mo-Lo-Yu yang terletak sejauh 15 hari pelayaran dari Bogha (Palembang), ibu negeri Sribhoga (Srivijaya). Beliau juga mengambil masa 15 hari pelayaran dari Mo-Lo-Yu ke Ka-Cha (Kedah), oleh itu Mo-Lo-Yu mungkin terletak di tengah-tengah antara kedua-dua tempat. Menurut I Tsing, Mo-Lo-Yu pada mulanya adalah sebuah kerajaan bebas sebelum ia ditawan oleh SriBhoga. Pada zaman Dinasti Yuan (1271–1368) dan Dinasti Ming (1368–1644), perkataan Ma-La-Yu sering disebut dalam sejarah China untuk merujuk kepada sebuah negara di Nanyang atau "Laut Selatan". Istilah ini sering dieja berlainan kerana perubahan Dinasti.
  • (Cina: 木剌由) - Bok-la-yu, Mok-la-yu
  • (Cina: 麻里予兒) - Ma-li-yu-er
  • (Cina: 巫来由) - Oo-lai-yu (dikesan dari sumber tulisan sami Xuan Zang)
  • (Cina: 無来由) - Wu-lai-yu
Ayat berikut dipetik dari catatan Babad Dinasti Yuan (dalam bahasa Cina): Babad Yuan Mongol
"以暹人与麻里予兒旧相仇杀,至是皆归顺,有旨谕暹人伤麻里予兒,以践尔言"
(Bahasa Melayu: Permusuhan terjadi di antara Siam dan Ma-la-yu (Melayu) dengan kedua-duanya berbunuhan antara satu sama lain...)
Petikan di atas berkemungkinan besar merujuk kepada berkurun-kurun lamanya permusuhan di antara entiti Thai di utara dan negeri-negeri Melayu di semenanjung Tanah Melayu seperti kerajaan Pattani, kerajaan Kedah dan kesultanan Melayu Melaka.
Pengembara dari Venice yang masyhur Marco Polo (1254–1324) dalam bukunya Pengembaraan Marco Polo ada menyebut tentang sebuah kerajaan bernama "Malauir" yang menurutnya terletak di bahagian selatan semenanjung Tanah Melayu.
Perkataan "Malayu" ada dipahatkan pada Batu Bersurat Padang Roco[3] yang bertarikh 1286 di Dharmasraya kemudian Adityawarman pada tahun 1347 menyebut kerajaannya dengan nama Malayapura seperti yang dipahatkan pada bahagian belakang Patung Amoghapasa. Ketika zaman kolonialisme Eropah, perkataan "Malay" diadaptasi ke dalam bahasa Inggeris dari perkataan Belanda "Malayo", yang juga diadaptasi dari perkataan Portugis "Malaio", yang berasal dari perkataan bahasa Melayu "Melayu".
Pada masa kesultanan Melayu Melaka yang menjadi kuasa utama di kepulauan Melayu pada abad ke-15, perkataan "Melayu" dimasyhurkan bagi menerangkan perbezaan budaya di antara orang Melaka dengan orang-orang asing dari rantau yang sama, terutamanya Orang Jawa dan Orang Thai. Melaka bukan sahaja menjadi pusat perdagangan utama serantau, tetapi juga sebuah pusat budaya Melayu yang terpenting, berpengaruh dalam membentuk institusi politik dan budaya tradisional Melayu dalam abad-abad yang seterusnya.

4.3        Melayu Proto












Rajah 4.3.1(a) Suku kaum Melayu Proto di Malaysia

Melayu Proto yang juga digelar Melayu asli atau Melayu purba adalah penutur Austronesia dari tanah besar Asia yang berpindah ke tanah Melayu dan kepulauan Melayu, dalam siri penghijrahan yang panjang di antara 2500 S.M dan 1500 S.M. The Encyclopedia of Malaysia: Early History, menunjukkan sejumlah tiga teori asal-usul Melayu:

·         Teori Yunnan, penghijrahan sungai Mekong (diterbitkan 1889).
Teori pertama mengenai asal usul orang Melayu adalah berdasarkan teori penghijrahan beramai-ramai orang Melayu yang menggunakan sampan dari daerah Yunnan di Selatan Cina dan keluar melalui Sungai Mekong ke Laut Cina Selatan, yang dikenali sebagai "Teori Keluar Dari Yunnan[4]". Teori ini dikemukakan pada tahun 1890.
Teori Melayu Proto berasal dari Yunnan disokong oleh R.H Geldern, J.H.C Kern, J.R Foster, J.R Logen, Slametmuljana dan Asmah Haji Omar. Bukti lain yang menyokong teori ini termasuk:
              i.        Alatan batu yang ditemui di Kepulauan Melayu adalah sama dengan alatan dari Asia Tengah.
             ii.        Kemiripan adat Melayu dan adat Assam.
            iii.        Bahasa Melayu & bahasa Kemboja ialah bahasa serupa oleh kerana tanah nenek moyang orang Kemboja berasal dari sumber Sungai Mekong.






Rajah 4.3(a) Daratan berwarna merah adalah kepulauan New Guinea.

Teori kedua, yang dikemukakan pada tahun 1965, mengatakan "Teori Keluar Dari New Guinea", iaitu orang Melayu asalnya berasal daripada Kepulauan New Guinea. Dimana orang Melayu zaman dahulu adalah pelayar yang unggul, yang bekerja sebagai kelasi kapal dan buruh untuk para pedagang-pedagang antarabangsa yang terdiri daripada orang Arab, Cina dan India selama lebih 2,000 tahun yang lalu. Jadi, mengikut teori ini, orang Melayu asalnya dari bangsa Papua atau Melanesia, dan selepas lebih 2,000 tahun, akibat interaksi dan perkhawinan campur dengan bangsa India, Cina dan Arab, mereka selepas itu menjadi maju lalu menubuhkan sebuah bangsa baru yang dikenali sebagai bangsa Melayu.

  • Teori Taiwan (diterbitkan 1997).

Teori yang ketiga dan teori yang paling popular sekarang di kalangan orang ramai, ialah "Teori Keluar dari Taiwan". Teori ini adalah berdasarkan teori lingustik dan bukti arkeologi. Teori ini mengatakan bahawa orang Melayu-Polynesian atau Astronesian atau rumpun Melayu berasal daripada Taiwan. "Teori Keluar dari Taiwan" atau juga disebut "Teori Keretapi Ekpress ke Polynesia"[5], mengatakan orang-orang Autronesian atau bahasa mudahnya orang-orang Melayu, telah keluar daripada Taiwan sejak 6,000 tahun dahulu, dan kemudiannya mereka ini bertebaran ke serata dunia, daripada Pulau Madagaskar di Timur sehinggakan ke Pulau Easter di Barat, dan dari Jepun di Utara sehinggakan ke New Zealand di Selatan.









Rajah 4.3 (b) Teori Keluar Dari Taiwan. Teori yang dipopularkan oleh Peter Bellwood

Kajian saintifik terbaru oleh HUGO (Human Genome Organization) mengenai genetik bangsa-bangsa Asia menyatakan hipotesis penghijrahan tunggal Asia dari Asia Tenggara mengembara ke arah utara dan secara perlahan-lahan menduduki Asia Timur Hipotesis ini bagaimanapun hanya berdasarkan bukti variasi genetik yang lebih banyak di kalangan bangsa Asia tenggara berbanding bangsa Asia timur, tanpa mengambil kira sejarah sosio politik kedua-dua rantau tersebut. Kekurangan variasi genetik di kalangan bangsa Asia timur berkemungkinan besar adalah kerana rantau tersebut telah lama bersatu di bawah satu kuasa politik tunggal contohnya di China, Korea dan Jepun yang menyebabkan interaksi manusia yang lebih kerap berbanding di Asia tenggara.
Melayu Proto dipercayai bangsa pelaut yang mahir dalam oseanografi dan pertanian. Mereka berpindah dari pulau ke pulau dalam jarak besar di antara New Zealand dan Madagascar, dan mereka berkhidmat sebagai penunjuk arah, kakitangan dan pekerja buruh kepada pedagang India, Arab, Parsi dan China untuk hampir 2000 tahun. Bertahun-tahun kemudian mereka menetap di pelbagai tempat dan menyerap pelbagai budaya dan agama.

 

4.4        Melayu Deutero

Orang Melayu terawal kemudiannya secara perlahan-lahan diganti oleh peneroka-peneroka Melayu Deutero dalam gelombang kedua penghijrahan dari tanah besar Asia di sekitar 300 SM. Secara antropologi, etnik Melayu yang kini mendiami semenanjung tanah Melayu dan kawasan pantai kepulauan Melayu adalah dari golongan Melayu Deutero yang berkulit lebih cerah, berbadan lebih besar, dan berambut lebih lurus, berbeza dengan orang Melayu Proto. Masyarakat ini juga memiliki taraf budaya yang lebih tinggi, teknik pertanian dan pengetahuan tentang besi yang lebih maju.
Mereka tidak hidup secara nomad tetapi dalam kampung-kampung yang merupakan unit utama masyarakat. Penempatan utama Melayu Deutero biasanya terletak di lembah-lembah subur, tebing sungai atau pesisir pantai, dan kegiatan utama adalah ekonomi sara hidup yang ringkas berasaskan penanaman padi dan perikanan. Menjelang kurun terakhir sebelum Masihi, penempatan-penempatan di kawasan pantai ini mula terlibat dalam perdagangan dengan dunia luar.
Kemunculan kelompok Melayu Deutero ini secara tidak langsung menyebabkan kumpulan Melayu Proto dan penduduk asli berundur ke pedalaman dan hulu sungai. Kumpulan Melayu Proto yang terkenal hari ini adalah dari suku Moken, Jakun[6], Orang Kuala, Temuan dan Orang Kanaq.

5.0        Faktor atau elemen yang mempengaruhi cara hidup orang  Melayu. Antara faktor-faktor tersebut ialah :

5.1        Pengaruh India

Tinggalan Candi di Lembah Bujang, Kedah. Para pengkaji sejarah menemui bukti kewujudan kerajaan Hindu-Buddha di kawasan ini sekurang-sekurangnya sejak tahun 110 Masihi menunjukkan pengaruh India yang kuat dalam masyarakat Melayu ketika itu. Tiada bukti yang tepat tentang tarikh pelayaran orang India yang terawal merentasi Teluk Bengal[7], tetapi bukti arkeologi yang ditemui di lembah Bujang menunjukkan orang Melayu di semenanjung telah berdagang dengan India sejak abad pertama masihi. Perkembangan perdagangan dengan India telah membawa kepada penyebaran agama-agama besar India, agama Hindu dan agama Buddha, ke seluruh pelusuk alam Melayu.
Tempat-tempat ibadat mula dibina berdasarkan seni bina India, dan ketua-ketua tempatan mula menggelar diri mereka Raja dan menyerap banyak aspek utama dari sistem pemerintahan feudal India. Kemudiannya, muncul negeri-negeri maritim Melayu kecil di kawasan pesisir pantai semenanjung tanah Melayu seperti Chi Tu (abad pertama), Gangga Negara (abad ke-2), Langkasuka (abad ke-2), dan Kedah (abad ke-4). Di antara abad ke-7 dan ke-13, sebahagian besar dari negeri-negeri maritim yang makmur ini berada di bawah kawalan longgar empayar Srivijaya, sebuah kerajaan Melayu agung yang berpusat di Palembang, Sumatera.
Pengaruh Srivijaya tersebar di semua kawasan pesisir Sumatera dan semenanjung tanah Melayu, Jawa barat, Borneo barat dan beberapa kawasan lain di kepulauan Melayu. Dengan naungan India dan China, kekayaannya sebahagian besar diperolehi melalui perdagangan. Pada zaman kegemilangannya, bahasa Melayu Kuno digunakan sebagai bahasa rasmi dan menjadi lingua franca serantau, menggantikan Sanskrit, bahasa utama Hindu dan Buddha. Zaman Srivijaya dianggap zaman kegemilangan budaya Melayu.










Rajah 5.1(a) Peta menunjukkan Jajahan Srivijaya

Kemegahan Srivijaya bagaimanapun mula merosot selepas serangan besar-besaran Empayar Chola pada abad ke-11 yang langsung melumpuhkan kekuatan ekonomi dan ketenteraannya. Sisa terakhir empayar Melayu itu di Dharmasraya akhirnya dihancurkan oleh penyerang-penyerang Jawa dari Singhasari yang melancarkan ekspedisi Pamalayu[8] pada penghujung abad ke-13.
Keruntuhan empayar Srivijaya telah menyebabkan kerabat dirajanya menjadi pelarian di wilayah-wilayah yang masih setia, dan terdapat beberapa percubaan oleh putera-putera Melayu untuk menghidupkan kembali empayar tersebut. Pada tahun 1324, dengan sokongan abdi-abdi empayar yang setia iaitu Orang laut, seorang putera Melayu Srivijaya, Sang Nila Utama telah menubuhkan kerajaan Singapura di Temasek.
Dinastinya memerintah pulau tersebut sehingga penghujung abad ke-14 apabila kerajaan Melayu itu sekali lagi menghadapi serangan dari tanah Jawa yang dilancarkan Majapahit. Pada 1401, cicit Sang Nila Utama, Paduka Sri Maharaja Parameswara berundur ke pesisir pantai barat semenanjung tanah Melayu dan menubuhkan Kesultanan Melaka Kesultanan Melaka menggantikan tempat Srivijaya sebagai kuasa politik Melayu serantau dan mewarisi banyak dari tradisi diraja dan budaya Melayu, termasuk sebahagian besar wilayah-wilayah yang pernah dikuasai pendahulunya.

5.2        Pengislaman

Dua perkembangan utama yang mengubah sejarah Melayu muncul pada permulaan abad ke-12 dan ke-15. Yang pertama adalah ketibaan Islam: dan yang kedua adalah kebangkitan Kesultanan Melaka di pesisir pantai barat daya semenanjung tanah Melayu. Agama Islam tersebar di kawasan pesisir pantai yang kininya negeri Kedah, Perak, Kelantan dan Terengganu, dari sekurang-kurangnya abad ke-12. Bukti arkeologi terawal tentang kedatangan Islam di semenanjung ialah sebuah batu bersurat bertarikh abad ke-14 yang ditemui di negeri Terengganu, Malaysia.
Pada abad ke-15, Kesultanan Melaka, yang hegemoninya melangkaui bahagian barat kepulauan Melayu, menjadi pusat utama penyebaran agama Islam di timur. Tradisi Melaka kemudiannya diwariskan ke generasi seterusnya dan membentuk nilai-nilai utama identiti Melayu. Ketika era inilah, agama Islam menjadi sebati dengan masyarakat dan budaya Melayu dan menjadi aspek terpenting dalam pentakrifan identiti "Melayu".
Pada tahun 1511, bandar Melaka jatuh ke tangan konkuistador Portugis. Meskipun begitu, Melaka tetap menjadi suatu prototaip institusi: satu paradigma tata urus negara dan satu titik rujukan budaya untuk negeri-negeri pengganti seperti Kesultanan Johor (1528–kini), Kesultanan Perak (1528–kini) dan Kesultanan Pahang (1470–kini).
Di seberang Laut China Selatan, satu lagi kerajaan Melayu, Kesultanan Brunei (1363–kini) telah bangkit menjadi pesaing pelabuhan maritim yang utama kepada Melaka. Brunei mencapai puncak kegemilangannya pada pertengahan abad ke-16 apabila ia mengawal tanah jauh ke selatan ke kawasan yang kininya Kuching di Sarawak dan ke utara sehingga ke kepulauan Filipina.
Kesultanan-kesultanan Melayu utama yang lain ialah Kesultanan Kedah (1136–kini) dan Kesultanan Patani (1516–1771) yang menguasai bahagian utara semenanjung tanah Melayu.



5.3        Penjajahan

Antara tahun 1511 dan 1984, banyak kerajaan-kerajaan Melayu dan kesultanan jatuh di bawah langsung penjajahan atau menjadi naungan kuasa asing yang berbeza, dari kuasa-kuasa penjajah Eropah seperti Portugis, Belanda dan British, dengan kuasa-kuasa serantau seperti Siam dan Jepun. Pada tahun 1511, Portugis Empayar ditawan ibu kota Kesultanan Melaka. Walau bagaimanapun, pihak Portugis yang berjaya, tidak dapat meluaskan pengaruh politik mereka melebihi kubu Melaka. Sultan mengekalkan ketuanan di atas tanah di luar Melaka dan menubuhkan Kesultanan Johor dalam 1528 untuk melawan Portugis.
Melaka menghadapi beberapa serangan tindak balas yang tidak berjaya oleh Johor sehingga 1614, apabila gabungan tentera Johor dan Belanda Kerajaan, menyingkir Portugis dari semenanjung selama-lamanya. Sebagai satu perjanjian dengan Johor pada 1606, Belanda kemudiannya mengambil kawalan Melaka. Sejarah Melayu negeri semenanjung mempunyai hubungan bermusuhan dengan Siam. Melaka kesultanan sendiri berjuang dua peperangan dengan Siam manakala negeri-negeri utara Melayu datang secara bersela di bawah dominasi Siam selama berabad-abad.
 Pada tahun 1771, Kerajaan Siam di bawah yang baru Chakri Dinasti dimansuhkan (Kesultanan Pattani) dan kemudian dilampirkan sebahagian besar Kedah Kesultanan. Terdahulu, Siam di bawah Ayutthaya Kingdom telah diserap [Tambralinga]] dan ditakluki Kesultanan Singgora pada abad ke-17. Siam dikenakan struktur pentadbiran yang baru dan mencipta wilayah Satun, Songkhla, Phuket, Trang, Narathiwat, Yala dan Pattani daripada bekas kesultanan.
Pada tahun 1786, pulau Pulau Pinang telah dipajakkan kepada Syarikat Hindia Timur oleh Kedah Kesultanan dalam pertukaran bantuan tentera untuk menentang Siam. Pada tahun 1819, syarikat itu juga diperolehi Singapura dari Johor Empayar, dan kemudian pada tahun 1824, Melaka dari Belanda. Semua ini perdagangan jawatan secara rasmi dikenali sebagai Selat pada tahun 1826 dan menjadi tanah jajahan mahkota Empayar British pada tahun 1867. Campur tangan British dalam hal ehwal negeri-negeri Melayu telah dirasmikan pada tahun 1895, apabila Raja-raja Melayu diterima Residen British dalam pentadbiran, dan Negeri-negeri Melayu Syarikat telah dibentuk. Pada tahun 1909, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis adalah kidal atas oleh Siam kepada British.
 Negeri-negeri ini bersama-sama dengan Johor, kemudiannya menjadi yang dikenali sebagai Tidak Bersekutu Melayu Bersekutu. Semasa Perang Dunia II, semua ini milik British yang secara kolektif dikenali sebagai British Malaya telah diduduki oleh Empayar Jepun. Kemerosotan Empayar Brunei memuncak dalam abad ke-19, apabila Brunei kehilangan banyak wilayahnya Rajah Putih Sarawak. Brunei adalah sebuah negeri naungan British[9] dari 1888 hingga 1984.
Walaupun sesetengah raja Melayu mengekalkan kuasa mereka di bawah kawalan Belanda, ada yang dimansuhkan oleh kerajaan kolonial Belanda, seperti kes Riau Kesultanan pada tahun 1911. Sejak penubuhan Republik Indonesia sebagai 1 (kesatuan negeri) pada tahun 1950, semua monarki tradisional Melayu telah dimansuhkan, dan kedudukan Sultan dikurangkan kepada tituler kepala atau waris.

6.0        Orang Melayu di Malaysia

6.1        Definisi Melayu

Kerajaan Malaysia mendefinisikan Melayu sebagai penduduk pribumi yang bertutur dalam bahasa Melayu, beragama Islam, dan yang menjalani tradisi dan adat-istiadat Melayu. Tetapi dari segi definisi budaya (cultural definition), Melayu itu merangkumi seluruh penduduk pribumi di Dunia Melayu. (Nusantara dalam pengertian di Malaysia), iaitu penduduk serumpun tidak kira agama, bahasa, dan adat istiadat masing-masing yang diikuti oleh masing-masing kelompok serumpun tersebut. Walau begaimana pun jua, dalam artikel ini, definisi Melayu mengikuti definisi Kerajaan Malaysia
Penduduk pribumi dari keturunan suku-suku di Indonesia, seperti Minangkabau, Jawa, Aceh, Bugis, atau Mandailing, yang bertutur dalam bahasa Melayu, beragama Islam dan mengikuti adat-istiadat Melayu, semuanya dianggap sebagai orang Melayu selain daripada Melayu Anak Jati yang berasal daripada Tanah Melayu itu sendiri. Bahkan orang bukan pribumi yang berkawin dengan orang Melayu dan memeluk agama Islam juga diterima sebagai orang Melayu.

6.2        Orang Melayu Malaysia,

Terdiri daripada 55% jumlah penduduk di Malaysia, ditakrifkan secara umum sebagai "bangsa Melayu" berbanding lebih spesifik sebagai "kumpulan etnik Melayu".
Mengikut 1997 Vital Statistics Malaysia Report, penduduk Malaysia semuanya berjumlah hampir 21 juta (jumlah sebenar 20.997.220), dan daripada jumlah tersebut, penduduk Melayu ialah 10,2 juta (48,5 %). Penduduk pribumi lain (termasuk Iban, Kadazan, Melanau, Bidayuh, Murut, dll) berjumlah 2,2 juta (10,5 %). Selebihnya terdiri daripada penduduk bukan pribumi, iaitu orang Tionghoa (5,4 juta – 25,7%), dan orang India, Serani dll (3,1 juta – 14,7%). Sebagian besar daripada penduduk Melayu (kurang lebih 65%) tinggal di kawasan desa, di kampung-kampung. Pada masa dulu, sebuah kampung Melayu merupakan satu unit politik, satu unit ekonomi, satu unit genealogi, dan satu unit keagamaan. Kini, kewujudan kampong Melayu tidak sepenuhnya memenuhi keempat-empat ciri di atas.

6.3        Sejarah

Masyarakat Melayu di Malaysia wujud hasil dari percampuran di antara tiga rumpun bangsa yang berbeza, iaitu Negrito, Austro-Asiatic dan Austronesia dengan pengaruh dari bangsa-bangsa dari luar Asia Tenggara.

6.4        Kumpulan

Masyarakat Melayu di Malaysia boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan yang berbeza:-

v  Anak jati
Anak Jati ialah satu istilah yang merujuk kepada sekumpulan orang Melayu yang merupakan penduduk pribumi Malaysia. Mereka adalah salah satu dari tiga kumpulan yang membentuk masyarakat Melayu di Malaysia. Kumpulan ini merangkumi suku-suku pribumi seperti:-



¨       Orang Melayu Kedah
¨       Orang Melayu Beruas
¨       Orang Melayu Manjung
¨       Orang Melayu Grik
¨       Orang Kelang
¨       Orang Melayu Melaka
¨       Orang Melayu Kelantan
¨       Orang Melayu Terengganu Pantai
¨       Orang Melayu Ulu Terengganu
¨       Orang Melayu Bentong
¨       Orang Melayu Lipis
¨       Orang Melayu Temerloh
¨       Orang Melayu Johor
¨       Orang Melayu Brunei
¨       Orang Melayu Kedayan
¨       Orang Melayu Cocos
¨       Orang Melayu Sarawak





v  Anak Dagang
Anak Dagang ialah satu istilah yang merujuk kepada orang Melayu di Malaysia yang mana nenek-moyang mereka berasal dari Kepulauan Indonesia, Kemboja, Vietnam, Thailand dan Pulau Hainan (China). Mereka terdiri daripada rumpun bangsa Austronesia dan terdiri daripada berpuluh-puluh suku yang berbeza iaitu:-


  • Aceh
  • Ambon
  • Banjar
  • Batak (tidak termasuk Mandailing)
  • Bawean (Boyan)
  • Bugis
  • Cham
  • Jawa
  • Kerinci
  • Mandailing
  • Melayu
    • Melayu Asahan (Batubara).
    • Melayu Bengkulu.
    • Melayu Deli.
    • Melayu Jambi
    • Melayu Palembang.
    • Melayu Patani
    • Melayu Riau
    • Melayu Siak
  • Minangkabau
  • Nias
  • Ocu (Kampar)
  • Rao(Rawa)





v  Peranakan
Peranakan ialah satu istilah yang merujuk kepada sekumpulan orang Melayu di Malaysia yang wujud hasil dari perkahwinan campur di antara orang Melayu (Anak Jati atau Anak Dagang) dengan bangsa-bangsa asing dari luar Asia Tenggara. Mereka adalah:-


  • Peranakan Parsi

  • 15
    Peranakan Arab
  • Jawi Peranakan / Jawi Pekan / Peranakan Kling
  • Peranakan Cina
  • Peranakan Turki
  • Peranakan Siam / Samsam
  • Peranakan Eropah














Rajah 6.4 (a) Himpunan Jawi Peranakan di Pulau Pinang

7.0        Melayu Kedah ( Etnik yang Dikaji)


7.1          Pengenalan

Suku Melayu Kedah merupakan antara sub-suku Melayu yang terbesar di Malaysia. Mereka merupakan antara penghuni terawal Semenanjung Tanah Melayu. Kumpulan ini membentuk kira-kira 15% Suku Melayu di Malaysia.

7.2          Sejarah

Kerajaan Kedah pernah menjadi salah satu kerajaan purba yang terbesar di Nusantara. Kerajaan ini membentang daripada Divisi Tanintharyi di selatan Myanmar sehingga ke bahagian utara Semenanjung Tanah Melayu. Empayar Kedah juga pernah meliputi seluruh bahagian selatan Thailand. Ini menyebabkan sehingga ke hari ini majoritas Melayu Myanmar dan sebahagian Melayu Thailand berketurunan daripada Melayu Kedah.

16
Menurut sumber sejarah, Kerajaan Kedah merupakan salah satu kerajaan yang terkenal oleh pedagang dari Jazirah Arab. Ini menyebabkan perkahwinan campur antara suku Melayu dengan pedagang Arab. Disebabkan kuatnya pengaruh arab terhadap Bahasa Melayu Kedah, kita boleh menyimpulkan bahawa sebahagian besar daripada Melayu Kedah mempunyai darah campuran Arab. Namun, ini tidak bermaksud bahasa setiap Melayu Kedah merupakan keturunan arab. Misalnya, sebagian mereka yang di Pulau Pinang berkemungkinan mempunyai darah India, manakala mereka yang berada di Thailand mempunyai darah campuran Suku Thai.

7.3          Lembah Kedah

Majoriti daripada penduduk Lembah Kedah merupakan berketurunan suku Melayu Kedah. Lembah ini meliputi Provinsi Satun di Thailand serta 3 negara bagian utara Malaysia (Perlis, Kedah dan Pulau Pinang). Ia meliputi kawasan berkeluasan kurang lebih 25,908 km persegi.









7.4        Nama etnis

Pada hari ini, kebanyakkan suku Melayu Kedah menggelar diri mereka sebagai Orang Utara berikutan tempat asal mereka di utara Semenanjung Malaya. Begitu juga bahasa mereka yang dikenali sebagai Pelet Utara atau logat utara.

7.5        Dialek

Bahasa Melayu Kedah boleh dibahagikan kepada beberapa sub-dialek, antaranya Kedah Pesisiran (Standard), Kedah Utara, Perlis-Langkawi, Pulau Pinang, Satun dan lain-lain.

Bahasa Melayu Kedah
      Bahasa Melayu Standard
Hang
Kamu
Cek
Saya
Depa
Mereka
Hangpa
Kalian
Sepa
Kami
Pi
Pergi
Mai
Datang, Mari
Awat, Pasepa
Mengapa
La
Sekarang
Sat
Sebentar, Sekejap
Mengkala
Bila, Apabila
Ketegaq
Degil
Jom
Ayuh, Mari
Kot
Mungkin, Barangkali
GeRek
Basikal

 









17
 

8.0        Kesimpulan
            Dalam tugasan ini kita dapat mengetahui mengenai perkembangan sejarah mengenai kaum Melayu di Malaysia khususnya Suku Melayu Kedah. Sebenarnya terdapat pelbagai lagi etnik yang wujud di Negara kita ini. Pendapat Geldern tentang kapak tua masih boleh diperdebatkan. Budaya kapak tua yang diperbuat daripada batu sebenarnya bukan hanya terdapat di Asia Tengah dan Nusantara. Budaya yang sama akan ditemui pada semua masyarakat primitif sama ada di Amerika dan juga di Eropah pada zaman tersebut.
            Bertepatan dengan kajian yang dilakukan oleh Kem di mana  berdasarkan bukti Etnolinguistik memperlihatkan bahawa persamaan perkataan (Bahasa Melayu) tersebut hanya terdapat di alam Nusantara dengan pengertian yang lebih luas dan perkataan tersebut tidak pula ditemui di daratan Asia Tengah. Ini menunjukkan bahawa penutur bahasa ini tentulah berpusat di tepi pantai yang strategik yang membuat mereka mudah membawa bahasa tersebut ke barat, iaitu Madagaskar dan ke timur hingga ke Pulau Easter di Lautan Pasifik.
            Secara khusus, penyebaran bahasa Melayu itu dapat dilihat di sepanjang pantai timur Pulau Sumatera, di sepanjang pantai barat Semenanjung Tanah Melayu; di Pulau Jawa terdapat dialek Jakarta (Melayu-Betawi), bahasa Melayu Kampung di Bali, bahasa Melayu di Kalimantan Barat, bahasa Melayu Banjar di Kalimantan Barat dan Selatan, Sabah, Sarawak, dan bahasa Melayu di Pulau Seram.
            Kesamaan pembentukan kata di antara bahasa Melayu dengan bahasa Polinesia yang dinyatakan oleh J.R. Foster dan kesamaan struktur bahasa Melayu dengan struktur bahasa Kampuchea juga memperlihatkan bahawa bahasa yang berada di Asia Selatan dan Asia Timur berbeza dengan bahasa yang berada di Asia Tengah. Kedua-dua keluarga bahasa ini berbeza dengan bahasa di bahagian Timur, Tenggara, dan Selatan Asia, iaitu keluarga Austronesia yang menurunkan empat kelompok besar, iaitu Nusantara, Melanesia, Mikronesia, dan Polinesia.
Benarlah pendapat Marsden bahawa bahasa Melayu yang termasuk rumpun bahasa Nusantara serumpun dengan rumpun bahasa Mikronesia, Melanesia, dan Polinesia dengan induknya bahasa Austronesia secara tidak langsung memperlihatkan adanya kekerabatan dua bahasa tersebut yang tidak ditemui di Asia Tengah.


18
 


9.0        Bibliografi
Asmah Haji Omar (2008). Susur Galur Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa       dan       Pustaka (DBP).
 Aziz dan Mohamad Yusof Ismail (2003).  Masyarakat, Budaya dan Perubahan, Bangi :     Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Azmah Abdul Manaf (2001). Sejarah Sosial Masyarakat Malaysia, Kuala Lumpur :             Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Buyong Adil. (1980). Sejarah Kedah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mahadi (2011, Disember 31). Siapakah Orang Melayu? Bahagian 3: Teori Mengenai          Asal      Usul Orang Melayu. Retrieved from                                                                          http://sejarahbangsamelayu.blogspot.com/2011/12/siapakah-orang-melayu-                           bahagian-3-teori.html
James F. Augustin (1996) Bygone Kedah. Alor Setar: Lembaga Muzium Negeri Kedah                              Darul Aman.
Melayu Kedah.( n.d ). In Wikipedia. Retrieved November 2, 2012, from    http://ms.wikipedia.org/wiki/Melayu_Kedah
Mohammad Isa Othman ( 1990 ), Politik Tradisional Kedah, 1681- 1942, Kuala Lumpur :     Dewan Bahasa dan Pustaka
Mohd Aris Hj. Othman. (1983). The dynamics of Malay identity. Monograph 7. Fakulti                   Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan. Universiti Kebangsaan Malaysia. Bangi:    Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

19
Sejarah Kedah.( n.d ). In Wikipedia. Retrieved November 2, 2012, from    http://ms.wikipedia.org/wiki/Sejarah_Kedah



[1] Berdasarkan “The Malay Culture Study Project” (1972), konsep Melayu merujuk kepada suku bangsa di Semenanjung Tanah Melayu, termasuklah orang-orang Melayu di Thailand, Indonesia, Filipina dan Madagaskar.
[2] Sir Roland Braddell mengaitkan Malayadvipa ini dengan Sumatra, namun, ramai sarjana India mempercayai ia merujuk kepada semenanjung Tanah Melayu yang lebih bergunung-ganang.
[3]  Pada batu bersurat ini terpahat manuskrip  4 baris tulisan dengan aksara Jawa Tua, dan memakai dua bahasa iaitu bahasa Melayu Tua dan bahasa Sanskrit
[4] Sungai Mekong ke Laut Cina Selatan. Dan seterusnya menyebar ke Taiwan. Dan daripada Taiwan, terus menyebar ke pulau-pulau di bawahnya seperti Filipina, Indonesia, Malaysia & Kepulauan Pasifik
[5] Teori ini dipelopori oleh Peter Bellwood, seorang pakar lingustik. Ini disokong oleh bukti arkeologi oleh Eusibio Dizon. Teori ini dikemukakan kepada dunia pada tahun 1997, dengan terbitnya buku "The Austronesian", oleh Peter Bellwood dan Eusibio Dizon.


[7] Teluk Bengal merupakan sebuah teluk terbesar di dunia, membentuk bahagian timur laut Lautan Hindi.
[8]  Pamalayu secara harfiah bermakna: perang terhadap Melayu
[9] Berikutan Perjanjian Anglo-Belanda pada tahun 1824 yang dibahagikan Tanah Melayu ke dalam zon British di utara dan zon Belanda di selatan, semua kesultanan Melayu di Sumatra dan Selatan Borneo menjadi sebahagian daripada Dutch East Hindia .

2 comments: