About TerusanIlmu

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Di TerusanIlmu anda boleh mendapatkan rujukan artikel secara percuma atau berbayar mengikut isi kandungan artikel. Semoga perkongsian bermanfaat. Sebarang pertanyaan boleh hubungi saya melalui email di noruleyena@gmail.com


tamu d'terusan

Wednesday, 2 January 2013

Syair, Cerita Rakyat Dan Seni Rakyat Sebagai Alat Komunikasi Tradisional Orang Melayu





Abstrak
Mendepani perkembangan pesat teknologi komunikasi di zaman moden ini, peranan komunikasi tradisional semakin terpinggir dan lebih signifikan sebagai komponen kesusasteraan dan elemen kebudayaan dan keseniaan sahaja. Tidak dinafikan, karya tradisional seperti syair, cerita rakyat dan seni rakyat memainkan peranan yang lebih dari itu terutama dalam membentuk identiti dan lambang kebudayaan di setiap tempat. Komunikasi  tradisional terkenal dengan penyampaian yang halus dan berbentuk kiasan dan sangat melambangkan kebudayaan melayu yang penuh budi bahasa. Oleh itu, artikel ini akan membincangkan dengan lebih mendalam berkenaan ciri-ciri dan keunikan i syair, cerita rakyat dan seni rakyat sebagai alat komunikasi tradisional yang sangat masyhur pada zaman dahulu dan bagaimana ia mampu mempengaruhi nilai kemanusiaan pada waktu itu.. Seterusnya, pelestarian komunikasi tradisional pada zaman moden ini akan dibincangkan dengan lebih teliti supaya fungsinya dapat disesuaikan dengan perubahan zaman di samping masih mengekalkan keindahannya.
Kata kunci: Syair, cerita rakyat, seni rakyat, komunikasi tradisional
1.      Pengenalan

Masyarakat Melayu di Malaysia kaya dengan pelbagai kesenian tradisional yang unik dan istimewa. Namun, Kesemua kesenian tersebut bukan sahaja berfungsi untuk tujuan hiburan malah berperanan sebagai saluran komunikasi tradisional dalam masyarakat.  Ini termasuklah kesenian berbentuk syair, cerita rakyat dan seni rakyat yang merupakan alat komunikasi tradisional yang berbentuk lisan atau lebih dikenali sebagai sastera lisan. Pada masa yang sama, ianya turut tekenal sebagai salah satu cabang  kesusateraan melayu yang mempunyai nilai estetika yang tersendiri,
Umumnya, sastera lisan ialah hasil-hasil sastera Melayu lama yang disampaikan secara lisan iaitu dipertuturkan. Sastera lisan merupakan hasil sastera yang dimiliki oleh masyarakat Melayu, disebarkan dan dituturkan daripada satu generasi ke satu generasi secara lisan. Masyarakat Melayu yang menghasilkan sastera lisan masih bersifat tradisional, ketinggalan dari segi teknologi, masyarakat yang masih mengamalkan sistem sosial yang terikat dengan semangat kerjasama dan kolektif, masyarakat yang masih statik serta tidak banyak hubungan dengan masyarakat luar.
     Sastera lisan merupakan hak milik bersama (kepunyaan) Bangsa Melayu. Ia hidup dalam masyarakat Melayu tradisional secara lisan atau secara dituturkan. Sebab itulah sastera lisan ini tidak diketahui nama pengarang atau penulisnya. Juga tidak diketahui bilakah ia dicipta. Sebagai sastera yang tersebar secara lisan sastera banyak mengalami perubahan dan tokok-tambah serta penyesuaian. Tokok-tambah dan penyesuaian dilakukan bagi menyesuaikan cerita tersebut dengan situasi setempat.  Oleh sebab itulah ahli-ahli  antropologi  sendiri  lebih  selesa  menggunakan  konsep  tradisi rakyat apabila mencirikan masyarakat  yang  hendak dikaji (Norazit Selat, 1997: 1).
Menurut Anisah, (2009),  nenek moyang masyarakat Melayu banyak meninggalkan khazanah tradisi komunikasi  yang tidak diketahui oleh generasi kini.  Sebahagian tradisi komunikasi  tersebut terpinggir apabila generasi tua meninggal dunia dan tidak ada generasi pelapis.  Khazanah komunikasi tradisi tersebut termasuklah amalan sapaan, tatacara menyampaikan maklumat, jemputan ke majlis kenduri-kendara, dan sebagainya.  Komunikasi dalam tradisi Melayu  lebih menekankan pertuturan bersemuka (interpersonal communication), yakni berkomunikasi secara dua hala.  Komunikasi berbentuk dua hala ini cepat mendapat maklumbalas dan merupakan kaedah komunikasi yang berkesan untuk menyampaikan sesuatu mesej.
Umumnya, sastera lisan Melayu dapat dibahagikan kepada  dua bentuk  iaitu sastera lisan berbentuk cerita (kisah atau naratif) seperti cerita rakyat dan sastera lisan berbentuk bukan cerita ( bukan kisah atau bukan naratif) seperti syair dan seni rakyat. Ketiga-tiga elemen komunikasi traditional tersebut akan ditelusuru dengan lebih lanjut dalam perbincangan di bawah.

2.         Ciri dan Fungsi Syair, Cerita Rakyat Dan Seni Rakyat Sebagai Alat Komunikasi Tradisional Orang Melayu

2.1  Syair
Menurut Raja Ali Haji dalam Cendekia Kesusasteraan Melayu Tradisional (1987:126) erti syair ialah susunan perkataan yang berirama sama pada bunyi akhirannya. Ia wujud berpasangan namun ia tidak sama seperti gurindam serta tidak memerlukan kesempurnaan pasangan. Alwi Salim (1983:61) pula berpendapat, syair ialah satu karangan yang tersusun rapi perkataannya secara berangkap-rangkap dan seimbang serta mempunyai pertentangan bunyi yang sama pada hujung tiap-tiap barisnya.
Perkataan syair berasal daripada bahasa Arab. Secara umumnya kata puisi ini bermaksud puisi. Dalam konteks bahasa melayu istilah puisi menjadi lebih khusus. Syair Melayu tidak beracuankan syair daripada tradisi Arab[1] mahupun mana-mana puisi Arab - parsi tetapi dalam acuan asli masyarakat melayu (Harun Mat Piah,1989). Ada pendapatyang mengatakan syair Melayu dipengaruhi oleh syair ataupun puisi Arab iaitu pengaruh Islam. Walaubagaimanapun, dalam Sulalatus Salatin Sejarah Melayu terdapat penggunaan syair sama ada bahasa Arab mahupun bahasa Melayu. Hamzah Fansuri iaitu tokoh ulama dan pujangga Melayu.
Maksud atau Maklumat dalam Syair: “… .. bergantung pada tujuan syair itu dicipta. Malah, syair Melayu dianggap ‘serba boleh’, sama ada dalam menyampaikan cerita yang panjang dalam jumlah rangkap yang banyak ataupun dalam satu rangkap empat baris sahaja.”( Harun Mat Piah, 1989). Siti Hawa Salleh: “… .. setiap genre dalam kesusasteraan Melayu tradisional mempunyai versinya dalam bentuk syair, di samping dalam bentuk prosa ….. terdapat syair agama, syair sejarah, syair hikayat[2], syair nasihat, dan lain-lain lagi….. juga muncul dalam karya prosa tradisional, sama ada selingan atau penghias bahasa dan juga sebagai penyampaian alternatif….” Suatu Perbincangan Tentang Sejarah dan Asal Usul Syair. April 2000. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Alynn Ng (2010),  menyatakan bahwa syair berfungsi sebagai alat komunikasi dalam kegiatan kesenian dan kebudayaan masyarakat. Syair dijadikan sebagai hiburan. Ia sering dilagukan dalam majlis-majlis tertentu. Contohnya : pesta dan keramaian, dipertandingkan atau dalam upacara-upacara adat. Selain itu, ia juga digunakan dalam adat perkahwinan. Syair juga dilagukan atau dinyanyikan sebagai mengiringi tarian-tarian tertentu. Contohnya: dalam dabus atau boria. Di samping itu, kemerduan suara atau kelembutan nada syair berupaya mengusik perasaan dan seterusnya meninggalkan kesan yang mendalam. Syair juga digunakan untuk menyampaikan pengajaran melalui cerita dan lagu tersebut. Contohnya: dalam hal-hal yang menyentuh aspek pengajaran.
2.2  Cerita Rakyat

"Berdasarkan  UNESCO (1985),  cerita  rakyat merupakan  satu himpunan tradisi  yang mencerminkan identiti  budaya  dan  sosial yang mempunyai  nilai  yang disampaikan secara lisan. la  juga  boleh  dalam  betuk bahasa,  muzik,  tarian, permainan,  kraftangan,  dan senibina. Cerita rakyat juga diperihalkan sebagai satu bentuk cerita yang popular dalam kalangan rakyat, yang menjadi hiburan penting di masyarakat berkenaan.Dalam masyarakat Melayu, terdapat pelbagi jenis cerita rakyat seperti cerita binatang, cerita jenaka, cerita penglipur lara dan cerita pengalaman.
Cerita rakyat juga sebagai ekspresi budaya suatu masyarakat melalui bahasa tutur yang berhubung langsung dengan berbagai-bagai aspek budaya, seperti agama dan kepercayaan, undang-undang, kegiatan ekonomi, sistem kekeluargaan, dan susunan nilai sosial masyarakat tersebut.
Cerita rakyat berfungsi  sebagai  sistem  menyatakan  pelbagai  keinginan  di  bawah  sedar,  angan-angan  terpendam,  sebagai pengesahan  kebudayaan,  sebagai  alat  pemaksa  berlakunya  norma-norma sosial  dan  alat  pengendali sosial  yang  dibenarkan  oleh  masyarakat (Siti Aishah Mat Ali, 1997:2). 
 Kebanyakan cerita rakyat adalah bersifat didaktif iaitu mengandungi unsur pengajaran dan pendidikan moral kepada masyarakat tradisi.Cerita-cerita lisan ini terselit nasihat, pengajaran, teladan, yang sangat berguna sebagai panduan ke arah kesejahteraan hidup masyarakat. Misalnya anak-anak dinasihati agar tidak mengamalkan sifat tamak, takbur, sombong dan bongkak seperti mana yang terdapat pada sifat-sifat tertentu binatang dalam cerita-cerita binatang[3].
Walaupun pada asalnya cerita rakyat diwariskan dari mulut ke mulut, tetapi banyak cerita rakyat kini sudah dibukukan. Cerita rakyat seperti Si Luncai, Lebai Malang, Pak Pandir, Si Tanggang adalah cerita-cerita rakyat yang menjadi popular kerana dibukukan. Sesetengah cerita rakyat adalah panjang dan plotnya kompleks, oleh itu dinamakan 'hikayat', seperti Hikayat Malim Deman, Hikayat Panji Semerang dan lain-lain lagi. Sesetengah cerita rakyat sudah dicipta semenjak pengarang Melayu masih 'jakun' yakni sebelum datuk nenek kita masuk agama Hindu ataupun Islam, umpamanya cerita Si Tanggang. Namun, walaupun kita sekarang sudah Islam, tetapi cerita itu kekal tidak 'diislamkan' sehingga hari ini.
Contohnya, melalui cerita-cerita seperti “Si Tanggang” anak-anak dididik agar tidak derhaka kepada kedua orang tua kerana anak yang derhaka tidak akan selamat hidup di dunia dan akhirat. Begitu juga dalam cerita-cerita roman,ditonjolkan sifat kesetiaan kepada pemimpin, sikap dan amalan gotong-royong,kerjasama dan tolong menolong yang banyak membawa manfaat dan keberkatan terutama dalam mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni dan sejahtera. 
Cerita-cerita lisan juga digunakan sebagai saluran untuk membuat kritikan atau sindiran terhadap raja atau orang-orang bangsawan. Misalnya melalui cerita-cerita jenaka seperti cerita Pak Kaduk,jelas menyindirkan golongan berkuasa (raja) yang bersikap zalim, tamak, pentingkan kuasa dengan mengenepikan kesejahteraan hidup rakyat jelata. Juga melalui cerita Pak Pandir,Lebai Malang, terselit unsur-unsur sindiran terhadap orang yang tamak,  kedekut, gilakan kuasa dan orang-orang yang sering mengambil kesempatan atas diri orang yang lemah semata-mata untuk kepentingan nafsu dan kekayaan diri sendiri.
Uniknya, cerita rakyat juga berfungsi sebagai alat hiburan kerana pada masa itu, tiada alternatif lain yang dapat memberikan kegembiraan kepada pendengar. Hal ini jelas apabila pendengar menghayati cerita yang cuba disampaikan oleh tukang cerita, Tok Selampit, dengan gaya yang menarik. Gambaran kemewahan, kecantikkan dan kesaktian yang ada pada watak utama dapat menggambarkan rasa kesenangan dan ketenangan rakyat. Contohnya dalam Hikayat Malim Deman, pendengar rasa terhibur dengan ketampanan, kemewahan, kecantikkan dan kesaktian serta kebijaksanaan Malim Demam. Malim Demam berusaha mencari isterinya dan akhirnya mereka hidup bahagia di bandar Muar yang besar dengan mempunyai kerajaan yang besar.
2.3   Seni Rakyat
Seni rakyat merupakan hasil seni tradisional yang terdiri daripada seni muzik, seni tari, seni ukir, seni lakon, seni bina,seni mempertahankan diri. Kegiatan seni mempamerkan bakat dan nilai mutu seni yang tinggi (Zahari, 2011). Dalam aspek komunikasi, seni rakyat yang lebih ketara fungsinya ialah melalui seni muzik, seni lakon dan seni tari. Antara contoh seni muzik ialah Hadrah, gamelan, rebana ubi, seruling, kompang, nafiri dan gong. Seni tari pula merujuk kepada seni joget, inang, zapin, kuda kepang, asyik. Seni suara atau lagu endoi atau dendang Siti Fatimah, ulit anak, nazam, marhaban, nasyid. 
Seni muzik perupakan seni rakyat yang paling asas dan masih dialun hingga kini. Dapat diperhatikan, variasi muzik tradisi di Malaysia adalah hasil campuran pelbagai etnisiti di negara ini (Arzyanie, 2010). Istimewanya, pelbagai etnik termasuk kaum majoriti Malaysia iaitu melayu, cina dan india serta Bumiputra Sabah dan Sarawak bergabung menghasilkan alunan muzik nusantara yang unik yang tidak terdapat di negara lain. Muzik tradisional secara amnya digunakan sebagai lambang budaya sesuatu bangsa selain daripada tujuan untuk hiburan dan mengiringi upacara-upacara adat tertentu.
Gabungan ritma dan intonasi muzik yang murni bergabung menjadi suatu melodi yang istimewa. Muzik tradisional Malaysia mempunyai latar belakang yang menarik,  peralatan muzik yang berlainan dan dimainkan sesuai dengan panorama tertentu. 
Muzik tradisional Malaysia tidak akan lapuk dek zaman kerana masih lagi ada penggemar-penggemar muzik tradisional yang memperjuangkan irama ini.  Contoh terbaik yang boleh diambil ialah irama gazal[4].
Ghazal merupakan satu kesenian tradisional masyarakat Melayu Negeri Johor yang popular.
Muzik tradisional ini sering dimainkan di majlis-majlis perkahwinan golongan bangsawan (pada masa dahulu), acara-acara keramaian yang dihadiri oleh Sultan Johor atau kerabat Diraja Johor, dan juga majlis-majlis rasmi yang diadakan di negeri Johor. Antara penyanyi-penyanyi terkenal yang telah mempopularkan irama ghazal Johor adalah Fadzil Ahmad, Datuk Sharifah Aini, Ramlah Ram, Rosiah Chik, Allahyarhamah Datin Rafeah Buang, Datin Orchid Abdullah dan ramai lagi. 
Seterusnya, kita akan melihat bagaimana seni tari menjadi alat komunikasi tradisional berbentuk non-verbal. Secara dasarnya, seni tari  adalah gerak indah dan berirama yang mengandungi dua unsur penting gerak dan irama. Menurut Haukin seorang menyatakan bahwa tari adalah ekspresi jiwa manusia yang diubah oleh imaginasi dan diberi bentuk melalui media gerak sehingga menjadi bentuk gerak yang simbolik dan sebagai ungkapan si pencipta (Haukins: 1990, 2).
Secara tidak langsung di sini Haukin memberikan penekanan bahawa seni tari merupakan ekspresi jiwa menjadi sesuatu yang dilahirkan melalui media ungkap yang disamarkan.  Menurut seorang ahli sejarah tarian dan muzik Jerman bernama C. Sachs telah memberikan definisi seni tari sebagai gerakan yang berirama. Seni tari adalah pengucapan jiwa manusia melalui gerak-geri berirama yang indah. Dalam kebudayaan melayu terdapat berbagai-bagai jenis tarian , sama ada tarian asli ataupun tarian yang telah dipengaruhi oleh unsur-unsur moden. 
Contoh seni tari yang popular ialah tarian Mak Yong yang berasal dari Patani di selatan Thailand dicipta untuk hiburan kerabat diraja wanita, permaisuri serta puteri sewaktu ketiadaan kerabat diraja lelaki. Tarian ini menggabungkan drama romantis, serta tarian dan nyanyian tradisional dengan gaya yang menawan, yang mengisahkan zaman kegemilangan kesultanan Melayu. Drama tari Mak Yong ini merupakan sebagai suatu bentuk drama tari Melayu yang menggabungkan unsur-unsur ritual, lakonan dan tarian yang digayakan, muzik vokal dan instrumental,  lagu, cerita dan teks percakapan yang formal dan bersahaja.
Selain daripada itu,   Tarian Kuda Kepang juga mempunyai cara yang tersendiri dalam memainkan peranan sebagai pencetus komunikasi.  Dikatakan bahawa tarian ini diperkenalkan oleh pendakwah Islam sebagai cara menarik penduduk setempat agar datang beramai-ramai menyaksikan persembahan mereka (Syafiqah, 2008). Pendakwah akan menyampaikan dakwah mereka sebelum atau selepas persembahan. Para penari menggunakan kuda kepang untuk menggambarkan kisah kejayaan perjuangan suci Islam, diiringi paluan gendang, gong dan angklung.
Tarian Kuda kepang amat digemari oleh penduduk  johor terutamanya dari berketurunan Jawa[5]. Kuda kepang ini biasanya dibuat dari anyaman yang dibentuk seperti seekor kuda tanpa kaki. Ia diperbuat daripada buluh yang dianyam atau kulit binatang yang diwarnakan untuk menjadi lebih menarik.Lazimnya terdapat 10 hingga 15 orang penari bagi setiap kumpulan penari kuda kepang yang biasanya akan mempunyai seorang ketua.Tarian ini biasanya dipertunjukkan di majlis-majlis keramaian untuk memeriahkan lagi suasana seperti sewaktu menyambut orang-orang kenamaan, meraikan majlis perkahwinan dan di hari-hari perayaan.
Seni lakon atau teater tradisional  pula boleh dikategorikan kepada persembahan dramatari, wayang kulit, teater bangsawan dan boria. Mengambil contoh wayang kulit, proses perkembangannya wayang kulit telah banyak melalui perubahan. Setelah melalui pelbagai zaman, wayang kulit dapat menyesuaikan dirinya secara bebas dan kreatif. Wayang kulit bermula sebagai alat yang ada kaitannya dengan upacara penyebaran agama, tetapi kemudiannya digunakan sebagai alat pendidikan dan penerangan. Pada kesempatan inilah nilai-nilai pendidikan dan pembangunan keluarga disampaikan. Nilai-nilai pembangunan masyarakat sebenarnya didasarkan pada hakikat bahawa keluarga menjadi agen pembentukan masyarakat. Inilah antara faktor mengapa wayang kulit sehingga kini menjadi salah satu tradisi kesenian negara.
2.4  Cabaran Syair, Cerita Rakyat Dan Seni Rakyat Sebagai Alat Komunikasi Tradisional Melayu  di  Zaman Moden.
Cabaran alat komunikasi tradisional di zaman moden adalah dari disebabkan ketidakmampuannya menjangkau ruang dan waktu serta audiens yang lebih luas. Kerana keterbatasan itulah komunikasi ini sering dianggap tidak efektif dan kalah bersaing dengan media komunikasi modern yang lebih canggih. Surutnya media tradisional ini dicerminkan pula oleh surutnya perhatian para peneliti komunikasi pada media tersebut. Schramm dan Robert (dalam Ragnarath, 1976) melaporkan bahwa antara tahun 1954 dan 1970 lebih banyak hasil penelitian komunikasi yang diterbitkan dari masa sebelumnya.
Berkurangnya minat masyarakat pada media tradisional ini ada hubungannya dengan pola pembangunan yang dianut oleh negara dunia ketiga pada waktu itu. Ideologi modernisasi yang populer saat itu, mendorong negara-negara tersebut untuk mengikuti juga pola komunikasi yang dianjurkan. Dalam periode itu kita menyaksikan bahwa tradisi lisan mulai digantikan oleh media yang berdasarkan teknologi. Sebagai akibatnya, komunikasi menjadi linear dan satu arah.
 Antara langkah untuk melestarikan warisan tradisional ini ialah ia boleh disampaikan kepada generasi muda melalui latihan. Kumpulan makyung, wayang kulit, zapin, dan sebagainya boleh dijalankan melalui Rakan Seni Budaya. Sistem pendidikan juga boleh menyelitkan budaya ! tradisional sebagai aktiviti kokurikulum di sekolah. Pertandingan berbalas pantun clan tarian tradisional akan mengembangkan budaya ini. Usaha ini memberikan peluang kepada mereka yang berminat untuk mengikutinya. Dengan ini, budaya kita akan terus berkembang. Persembahan ini juga akan membolehkan orang ramai mengenalinya dengan lebih dekat. Dengan ini, seni jiwa bangsa dapat dihayati kerana “tak kenal maka tak cinta”.
 Di samping itu, pameran artifak atau sejarah kebudayaan warisan pelbagai kaum di Malaysia haruslah digalakkan. Kini pengaruh media massa menyebabkan budaya tradisional kita kian dilupai. Sehubungan dengan itu, media massa tempatan perlu menyiarkan[6] budaya kita dengan lebih kerap dan meluas. Pihak media massa juga digalakkan mengadakan sudut seni budaya. Akhbar Berita Harian, yang merencanakan sudut budaya tentang masakan, pakaian, hiasan, kepercayaan, petua kesihatan, dan sebagainya, harus dipuji. 
Janganlah kita biarkan kebudayaan kita hanya dapat ditonton di muzium, bak pepatah yang berbunyi “biar mati anak,jangan mati adat”. Oleh itu, usaha memupuk dan memelihara budaya ini tidak seharusnya dipandang enteng. Marilah kita bersama-sama memeliharanya supaya terus subur meredah zaman, tidak lekang dek panas, tidak lapuk dek hujan.
3.                    Penutup
Telah dibuktikan bahawa komunikasi tradisional sangat penting dalam suatu masyarakat kerana dapat mempererat persahabatan dan kerja sama untuk mengimbangi tekanan yang datang dari luar. Komunikasi tradisional mempunyai dimensi sosial, mendorong manusia untuk bekerja, menjaga keharmonisan hidup, memberikan rasa keterikatan, bersama-sama menantang kekuatan alam dan dipakai dalam mengambil keputusan bersama. Pada zaman dahulu, komunikasi tradisional dilakukan oleh masyarakat primitif dengan cara yang sederhana.
Nilai-nilainya memberi manfaat dan menjadi medan nasihat dan sindiran secara halus terhadap norma-norma masyarakat pada zaman itu dan juga kesahihannya dapat diinterpretasikan sehingga kini. Dek kerana karya Melayu tradisional tidak mempunyai nama pengarang kerana zaman ketika itu tidak menuntut manusia menonjol diri. Justeru, menjadi tanggungjawab sosial masyarakat Melayu lama mempertahankan karya mereka secara lisan dan diperturunkan dari generasi ke generasi lain. Didapati, peranan syair, cerita rakyat dan seni rakyat sebagai alat komunikasi tradisional sangat menyerlah sebelum globalisasi berlaku. Namun, seiring dengan perkembangan teknologi, komunikasi tradisional mulai luntur dan jarang digunakan.
Perlu diingat, kecanggihan teknologi ICT dan komunikasi tradisional melayu pada dasarnya masih boleh digandingkan bersama dan bukannya terus terpinggir. Komunikasi tradisional pada terbentuk dari adanya kebudayaan suatu masyarakat dan kebudayaan bisa lebih dilestarikan dengan adanya perkembangan komunikasi. Perkembangan  komunikasi itu akan berjalan efektif apabila masyarakatnya itu sendiri mampu dan mau melestarikan kebudayaan yang ada dan menganggap seni tradisional melayu sebagai alat komunikasi alternatif pada masa kini.
Seharusnya, kemajuan teknologi memainkan peranan penting dalam mempertahankan bidang komunikasi tradisional ini dengan bantuan Kementerian keseniaan dan kebudayaan. Walaupun peranannya sebagai alat komunikasi tidak signifikan seperti dahulu, namun seni tradisional melayu ini perlu diabadikan sebagai aset kebudayaan dan kesusasteraan melayu. Kini, aplikasi teknologi dalam industri kreatif berada di tahap minimum berbanding dengan keupayaannya yang begitu besar yang memerlukan daya kreativiti dan inovasi yang tinggi.
4.             

5.                    Bibliografi

Abd. Rahman. (2009). The portrayal of ICT in the media : A Malaysian scenario. Jurnal                                  Komunikasi. Vol.25. 1-12
Abdullah, Moniza and Raoh , Rozana and Wan Sulaiman, Wan Salwana (2008) Kajian mengenai                    sejauh mana penerimaan masyarakat Kelantan terhadap pementasan seni wayang kulit                               sebagai suatu bentuk hiburan. Institute of Research, Development and Commercialization                  ,UiTM.
Adi Prakosa (2008, Januari 23). Media Tradisional. Retrieved from                                                                    http://adiprakosa.blogspot.com/2008/01/media-tradisional.html
Azim Mohd Noor (2010, Ogos 24). Muzik tradisional Ghazal. Retreived from                                                   http://alunanmustika.blogspot.com/2010/08/muzik-tradisional-ghazal.html
Fuziah Kartini Hassan Basri, Asiah Sarji & Arfah Yusof. (2004). Era digital: Cabaran baru kepada                   karyawan serta pendidik penyiaran dan perfileman di  Malaysia. Jurnal Komunikasi. (20).               1-15.
Mazlan (2008, Mac 16). Kepentingan budaya tradisonal kita. Retrieved from                                         http://mazlan66.wordpress.com/2008/03/16/kepentingan-budaya-tradisonal-kita/
Morris, M., & Ogan, C. (1996). The Internet as a mass medium.  Journal of  Communication. 46. 39-             50.
Mulyana, Deddy. 2007. Ilmu Komunikasi Suatu Pengantar. Bandung: PT Remaja Rosdakarya.
Nazierah Mohamad at ( 2011, November 20). Sastera Melayu Tradisioanal: Cerita rakyat.                                 Retrieved from http://nazierahawira.blogspot.com/2011/11/contoh-cerita-lipur-lara.html
Nik Hartini (2009, October 17). Peranan Alat Muzik Tradisional Melayu Dalam Proses Komunikasi.                Retrieved from http://gamelanmelayu.blogspot.com/2009/10/peraa-alat-muzik-                                             tradisioal-melayu.html
Rosli Saludin, (2007), Puisi Melayu Tradisional. Pulau Pinang. Goal Intelligent Publishing Sdn.                        Bhd.
Samsudin A. Rahim. (2008). Generasi muda dan internet . Tren dan isu media dan generasi muda.                  Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia. Perpustakaan Negara Malaysia:                          Putrajaya.


[1] Menghayati satu – satu syair atau qasidah bermaksud respon atau tindak balas pembaca terhadap unsur –unsur keindahan dalam satu – satu kerja seni (Mustafa As As Sawi Al Juwaini).
[2]  Beberapa sastera hikayat juga tertulis dalam kedua-dua bentuk prosa dan syair termasuk Hikayat Ismayatim, Hikayat Marakarma, Hikayat Gul Bakawali dan lain-lain di samping Syair Siti Zubaidah Perang Cina, Syair Sultan Maulana, Syair Awang Semaun.
[3] Watak-watak dalam cerita binatang ialah binatang. Contoh di dalam cerita Hikayat Sang Kancil, wataknya ialah Sang Kancil dan binatang-binatang yang lain. Binatang diberi jiwa dan tingkahlaku seperti manusia. Contohnya sang kancil berupaya menggunakan akalnya bagi menyelesaikan kaki kerbau yang digigit oleh buaya.
[4] Pada peringkat permulaannya, seni muzik ghazal ini disebut sebagai Qamat yang bererti nyanyian dan beriuh rendah dikatakan berasal dari Tanah Arab (Nadiah, 2010).
[5] Tarian ini ialah tarian warisan budaya Jawa yang terpengaruh dengan islam. Ciri kejawaan itu jelas pada pakaian penari-penari. 
[6] Misalnya, pameran kebudayaan tradisional boleh diadakan melalui Pesta Malaysia, Pesta Negeri, Muzium Negeri, dan sebagainya

1 comment:

  1. Pihak Qew Communications Sdn. Bhd. dengan rasa rendah diri menjemput saudari/saudara untuk memeriahkan Acara Prelude International Malay Art and Culture di Muzium Warisan Melayu, UPM, Serdang pada 21 - 23 NOVEMBER 2014. Kehadiran anda amat dihargai.

    ReplyDelete