About TerusanIlmu

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Di TerusanIlmu anda boleh mendapatkan rujukan artikel secara percuma. Semoga perkongsian bermanfaat. Sebarang pertanyaan bole hubungi saya melalui email di noruleyena@gmail.com


tamu d'terusan

Friday, 30 November 2012

Pengajaran pemulihan,kaedah mengajar dan bahan bantu mengajar (Berdasarkan Akta Pendidikan 1996)



Abstrak
Artikel ini akan membincangkan tiga elemen utama dalam Bab 8 Akta Pendidikan 1996 yang menghuraikan akta-akta pendidikan dan garis panduan berkenaan dengan Pendidikan Khas di Malaysia. Tiga elemen ini ialah elemen pengajaran pemulihan, kaedah pengajaran dan bahan bantu mengajar. Selain menyentuh secara khusus berkenaan dengan ketiga-tiga elemen tersebut, perkembangan pendidikan khas di negara ini juga akan dibincangkan dengan lebih lanjut termasuklah kemudahan dan struktur pengajaran dan pembelajaran yang telah disediakan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia dan juga badan-badan lain yang bertanggungjawab. Dalam pada masa yang sama latar belakang kurikulum pendidikan khas, kurikulum pendidikan khas, penilaian pendidikan khas dan integrasi antara pendidikan khas dengan pendidikan teknik vokasional di ketengahkan. Tambahan dari itu, segala kesukaran para pendidik dalam mengimplementasikan pengajaran pendidikan khas akan dirungkai beserta langkah penyelesaiannya. Keseluruhannya artikel ini akan memperlihatkan bagaimana peranan setiap elemen tersebut bergabung dan membentuk kekuatan dan keberkesanan dalam memberi perkhidmatan kepada kanak-kanak berkeperluan khas di Malaysia.
Kata kunci: Akta Pendidikan 1996, Pendidikan Khas, Pengajaran pemulihan, Bahan Bantu Mengajar, Kaedah pengaran pendidikan khas,
1.0  Pendahuluan
Pendidikan merupakan agenda utama bagi sesebuah negara untuk terus membangun dan mencapai kemajuan. Justeru, setiap negara memerlukan kepada sistem pendidikan yang baik yang mampu memberikan pendidikan kepada semua. Oleh itu, pendidikan yang khusus dan bersesuaian dengan keperluan dan kebolehan terutama termasuklah kanak-kanak berkeperluan khas  iaitu bermula dari peringkat pra-sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah hinggalah ke tahap pengajian tinggi perlu dititikberatkan. Menyedari hal ini, Malaysia tidak ketinggalan untuk turut sama mengangkat pendidikan berbentuk Pendidikan khas ke tahap yang sama dengan kurikulum standard masa kini. Bukti keseriusan pihak kementerian dalam menterjemahkan kesungguhan pelaksanaanya ialah apabila Akta Pendidikan Khas telah turut sama termaktub dalam Akta Pendidikan 1996. Antara kandungan akta ini ialah menyatakan bahawa guru-guru boleh mengubah suai kaedah atau teknik pengajaran atau pembelajaran, masa bagi aktiviti dan sususan aktiviti, mata pelajaran dan bahan bantu mengajar bagi mencapai tujuan dan matlamat pendidikan khas.
Umumnya, pendidikan khas adalah pendidikan yang direka cipta dan dirancang untuk kanak-kanak istemewa. Mereka ini memerlukan pendidikan dan perkhidmatan khusus bagi memperkembangkan potensi dan kemajuan kendiri. Pendidikan khas merujuk kepada pengajaran yang direka khas bagi melengkapkan keperluan seseorang kanakkanak yang luar biasa dan memerlukan bahan-bahan pengajaran khas, teknik pengajaran yang luar biasa serta kemudahan-kemudahan yang tertentu (Hallahan & Kauffman, 1986).
Bidang pendidikan khas ini diperkukuh dengan berpandukan  falsafah pendidikan khas itu sendiri iaitu menyatakan bahawa pendidikan khas adalah satu usaha yang berterusan untuk menggalakkan perkembangan optima seseorang individu sebagai seorang yang berkemahiran, berhaluan, berupaya, beriman, berdikari, mampu merancang dan menguruskan kehidupan serta menyedari  potensi diri sendiri sebagai seorang individu dan ahli masyarakat yang seimbang dan produktif  selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (Jabatan Pendidikan Khas, 2005).
Visi pendidikan khas ialah dengan memberikan pendidikan yang berkualiti bagi menjana murid berkeperluan khas selaras dengan sistem pendidikan kebangsaan manakala misinya ialah dengan membangunkan modal insan yang cemerlang berasaskan empat prinsip iaitu sistem pendidikan yang berkualiti, releven dan menyeluruh. Kedua, perkembangan potensi diri ke tahap yang optimum, keupayaan berdaya saing dan kebolehpasaran dan perkongsian pintar dengan pelbagai pihak.
Objektif pendidikan khas ini pula menyediakan peluang dan kemudahan pendidikan khas untuk murid-murid dengan keperluan khas, meyediakan pendidikan yang sesuai dan  relevan kepada setiap murid dengan keperluan asas, meyediakan peluang untuk mengembangkan bakat dan potensi murid dengan keperluan khas, menyediakan bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran yang mencukupi dan terkini dan memastikan tenaga pengajar yang mencukupi dan terlatih dalam bidang pendidikan khas. Selain itu, objektif pendidikan khas juga adalah untuk menguasai kemahiran asas 3M[1], meneruskan pembelajaran di kelas biasa dan membina keyakinan diri dan positif terhadap pembelajaran (Jabatan Pendidikan Khas, 2008).
Merujuk kepada kaedah pengajaran murid Pendidikan Khas, dari segi kurikulum, murid-murid ini menjalankan aktiviti kokurikulum seperti murid biasa. Kurikulum yang digunakan di sekolah-sekolah pendidikan khas dan Program Pendidikan Khas Integrasi ialah kurikulum kebangsaan dan kurikulum alternatif. Mengikut Akta Pendidikan 1996; Pendidikan (Peraturan Kurikulum Kebangsaan) 1997 mendefinisikan Kurikulum Kebangsaan sebagai
“Program pendidikan yang merangkumi aktiviti kurikulum dan kokurikulum yang mencakupi semua ilmu pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, elemen budaya  dan kepercayaan untuk membantu mengembangkan murid sepenuhnya dari  aspek fizikal, rohani, mental dan emosi serta memupuk dan memperkembangkan nilai murni yang diingini serta untuk menyebarkan ilmu pengetahuan
(Akta Pendidikan 1996)
Seterusnya, satu lagi aspek yang akan dibincangkan adalah bahan bantu mengajar bagi murid Pendidikan Khas. Dalam konteks Malaysia, kanak-kanak berkeperluan khas menekankan kepada kebolehan, kefungsian, kemahiran, perkembangan, penguasaan dan pencapaian kanak-kanak tersebut dalam kemahiran-kemahiran pengembangan. Oleh yang demikian Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mengambil beberapa langkah dalam mengintegrasikan penggunaan ICT  sebagai bahan bantu mengajar  dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di semua peringkat sekolah. Pendidikan khas juga tidak terkecuali dari tempias perkembangan ICT yang mana ia banyak memberi faedah kepada proses P&P yang berlaku di sekolah pendidikan khas.
Analisis pendidikan khas merujuk kepada kegiatan yang menjelaskan unsur-unsur dalam pendidikan khas, termasuklah peristilahan, doktrin, atau ajaran. Beberapa perkara perlu dipertimbangkan oleh guru dalam mendidik pelajar khas. Ini kerana pendekatan penerimaan pembelajaran mereka amat berbeza dengan pelajar biasa. Menurut Effandi Zakaria (2004), pelajar khas ini menunjukkan kesukaran dalam keupayaan visual[2] ruang. Mereka menghadapi masalah berkaitan pengiraan, bahasa, dan sebagainya. Oleh itu, mereka mempunyai keupayaan yang terhad dalam pencapaian berbanding pelajar-pelajar biasa yang sebaya dengannya. Justeru itu, pengenalan TMK[3] kepada pelajar khas merupakan satu idea yang perlu dipertimbangkan terlebih dahulu, kerana TMK memerlukan pelajar yang menguasai dan berkemahiran dalam menggunakannya.
2.0  Perbincangan
2.1  Elemen 1: Pendidikan/Pengajaran Pemulihan
Pengiktirafan pengajaran pemulihan dalam sistem pendidikan masa kini adalah hasil daripada kesedaran pelbagai pihak terhadap kepentingan pendidikan aliran seperti ini.  Antara peristiwa penting yang membawa kepada termaktubnya akta pendidikan khas dalam Akta Pendidikan 1996 ialah bermula dengan Deklarasi Hak-hak Kemanusiaan Sejagat (1948) yang menegaskan hak bagi setiap individu mendapat pendidikan. Perkara ini ditegaskan semula dalam Persidangan Dunia bertemakan ‘Pendidikan Untuk Semua’ di Jomtien, Thailand yang menekankan keperluan pembelajaran untuk orang kurang upaya  menuntut perhatian khu- sus. Langkah-langkah perlu diambil untuk menyediakan persamaan akses kepada pendidikan utuk semua kategori orang kurang upaya sebagai bahagian yang sepadu dalam sistem pendidikan.
Seterusnya, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah mengisytiharkan Hak Kanak-kanak Sedunia dan antara yang ditegaskan ialah hak kanak-kanak istimewa iaitu mereka berhak mendapat penjagaan yang khusus dan bimbingan mengikut kecacatan yang dialami serta peluang menjadi seberapa normal yang mungkin.Dasar mengenai  pendidikan khas di Malaysia dinyatakan dalam AktaPelajaran1961 Dalam Bahagian I (Tafsiran)  Akta ini menyatakan bahawa; “Sekolah khas bermakna sekolah yang menyediakan layanan pendidikan yangkhas untuk murid-murid yang kurang upaya”.
Kajian mengenai akta ini diteruskan  seperti yang dilaporkan dalam Laporan Jawatankuasa Kabinet (1978) yang mengkaji Perlaksanaan Dasar Pelajaran  melalui Perakuan  169 merupakan satu titik tolak yang membawa kepada satu penekanan dan tumpuan yang lebih jelas kepada  perkembangan Pendidikan Khas di Malaysia. Perakuan ini menyebut;
“Dengan adanya kesedaran bahawa kerajaan seharusnya bertanggungjawab terhadap pendidikan kanak-kanak cacat adalah diperakukan,  kerajaan hendaklah  mengambil alih sepenuhnya tanggungjawab pendidikan itu dari pihak-pihak  persatuan  yang mengendalikannya pada masa ini. Di samping itu penyertaan oleh badan badan sukarela dalam memajukan pendidikan kanak- kanak  cacat  hendaklah terus digalakkan’                                                                                       
 (Perakuan 169 , Dasar Pelajaran Malaysia)
Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Pendidikan telah bersidang pada 30 Jun1981 dan memutuskan penubuhan sebuah Jawatankuasa. Antara kementerian untuk mengkaji  dan me- nentukan bidang tugas masing-masing mengenai kanak-kanak kurang upaya. Kementerian-ke- menterian yang terlibat selain daripada Kementerian Pendidikan ialah Kementerian Kesihatan ,Kementerian Kebajikan Masyarakat (kini Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga  dan Masyarakat) dan Kementerian Buruh.
Pada amnya, Jawatankuasa ini menetapkan tanggungjawab Kementerian Pendidikan terhadap pendidikan kanak-kanak bermasalah penglihatan, bermasalah pendengaran dan kanak-kanak bermasalah pembelajaran (terencat akal) yang boleh dididik. Tanggungjawab Kementerian Kebajikan Masyarakat terhadap pendidikan kanak-kanak yang kurang upaya fizikal, terencat akal sederhana dan teruk serta kanak-kanak spastik[4] manakala tanggungjawab Kementerian  Kesihatan untuk  mengenal pasti di peringkat awal dan menyaring kanak-kanak  yang  dilahirkan dalam keadaan berisiko. Akta Pelajaran 1961 kemudiannya disemak semula dan digantikan dengan Akta Pendidikan 1996.
Satu bab khusus mengenai Pendidikan Khas telah dimasukkan dalam akta tersebut yang menyarankan bahawa:Seksyen 40 and seksyen 41 dalam Akta 1995 dilihat oleh pelbagai pihak sebagai ‘era baru’ dalam dunia pendidikan khas,  kerana Menteri Pendidikan  dikehendaki  membuka  kelas  jika ada permintaan daripada masyarakat. Akta ini juga memperuntukkan kuasa kepada Menteri untuk menentukan tempoh persekolahan dan kandungan kurikulum untuk keper-luan pendidikan khas. Amalan pada masa ini, kanak-kanak berkeperluan khas dibenarkan berse-kolah  sehingga mereka berumur 19 tahun.
Berbagai-bagai pendapat telah diberikan oleh ahli-ahli pendidik barat dan tempatan mengenai takrifan pendidikan pemulihan. Secara lebih khusus, takrif pendidikan pemulihan itu telah diberi dengan pelbagai definisi, antaranya ialah menurut laporan yang bertajuk Asia and Pacific Programme of Educational Innovation for Development (1987) yang disediakan oleh Kementenian Pendidikan Malaysia, pengajaran pemulihan ialah “a process in which children with learning problems are given practical alternatives and effective approaches (programme) in education”. Sharifah Alwiah Alsagoff (1993) pula, mentakrifkan pendidikan pemulihan adalah satu tindakan khusus yang diambil untuk mengatasi keperluan pendidikan murid yang mengalami kesukaran dari segi pembelajaran dalam darjah khas di sekolah biasa, dipusat khusus yang dihadiri oleh murid secara sambilan, dalam kumpulan yang diasingkan daripada sekolah biasa, dan dalam darjah untuk pengajaran khusus oleh guru pemulihan.
Bagi Ishak Haron dan Koh Boh Boon (1983), menegaskan bahawa pendidikan pemulihan ialah satu perkhidmatan khas untuk memenuhi keperluan-keperluan kanak-kanak yang menghadapi masalah-masalah pembelajaran di sekolah-sekolah biasa atau aliran perdana yang gagal menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira. Koh (1979) dalam kertas kerjanya bersempena dengan Tahun Kanak-kanak 1979 mendefinisikan pengajanan pemulihan sebagai pengajaran yang bertujuan memulihkan kelemahan-kelemahan yang dikesan pada murid lambat dengan tujuan meningkatkan taraf pencapaian mereka agar setaraf dengan pencapaian murid-murid normal.
Kanak-kanak istimewa yang memerlukan Pendidikan Khas boleh dibahagikan lepada 7 kategori iaitu:
i.            Kanak-kanak cerdas – pintar dan berbakat istimewa
ii.            Kanak-kanak cacat fizikal (Psikomotor atau neurosisi)
iii.            Kanak-kanak cacat penglihatan
iv.            Kanak-kanak cacat pendengaran dan masalah komunikasi
v.            Kanak-kanak kecelaruan tingkahlaku (Behavioural disorders)
vi.            Kanak-kanak bermasalah pembelajaran (Learning disabilities)
vii.            Kanak-kanak kerencatan akal (Mentally retarded)
Sharifah (1979) pula mengatakan pengajaran pemulihan ialah pengajaran melalui pendekatan dan kaedah yang khusus untuk murid-murid yang terlalu lemah. Chua (1977), mendefinisikan pengajaran pemulihan sebagai satu pengajaran yang bertujuan untuk membantu murid yang lemah, melalui pendekatan perseorangan dalam kelas yang kecil bilangan muridnya. Pengajaran ini menggunakan kurikulum yang diubahsuaikan dengan menitikberatkan perkara yang praktis dan latih tubi, tunjuk cara yang melibatkan kegiatan dan gerak kerja yang dimudahkan serta disampaikan dengan teratur serta dikendalikan oleh kakitangan ikhtisas (profesional) yang terdiri daripada guru pemulihan dengan kerjasama doktor, pekerja sosial, pakarjiwa dan pihak-pihak lain yang berkaitan.
Menghuraikan lebih jelas akan konsep Program Pendidikan Khas, Mat Nor Husin dan Jais Sahok 1990 menyatakan bahawa, Program Pendidikan Khas ialah pendidikan yang diberikan kepada murid-murid yang gagal di peringkat bilik darjah kerana tidak menerima isi pelajaran seperti pencapaian rakan sebaya mereka yang tidak bermasalah. Bersandarkan kepada pendapat tersebut pendidikanpemulihan khas dapat dirumuskan sebagai satu perkhidmatan yang diadakan khusus untuk murid–murid yang menghadapi kesulitan pembelajaran khususnya dalam menguasai satu-satu kemahiran asas seperti membaca, menulis dan mengira yang merupakan fokus utama dalam Kurikulum Baru Sekolah Rendah”.
Bagi Koh Boh Boon (1982), konsep pendidikan pemulihan adalah lebih terbatas yang lebih khusus sifatnya kerana ia bertujuan membaiki kelemahan pembelajaran oleh murid-murid lambat.[5]Pendidikan pemulihan merupakan lanjutan daripada sebahagian pendidikan imbuhan. Ia dikenali juga sebagai ‘remedial education’ di dalam bahasa Inggeris iaitu suatu bentuk pendidikan khas kepada kanak-kanak atau pelajar yang menghadapi masalah atau kesulitan pembelajaran dalam mata-mata pelajaran tertentu sahaja. Pendidikan pemulihan adalah satu bentuk pendidikan untuk membetulkan sesuatu yang kekurangan atau membetulkan sesuatu yang tidak betul atau sesuatu yang cacat.
Pendidikan Pemulihan Khas berbeza daripada pendidikan atau pengajaran biasa. Guru yang mengajar kelas pemulihan khas merupakan guru yang terlatih di institusi yang menyediakan kursus-kursus pendidikan pemulihan seperti di universiti, maktab perguruan mahu pun institut pendidikan guru sama ada dalam negara atau luar negara. Hasilnya guru pemulihan khas mempunyai kepakaran yang khusus bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh murid-murid yang lemah. Kelas pemulihan selalunya lebih kecil daripada kelas biasa. Aktiviti yang dijalankan juga menjurus kepada kelemahan murid. Keluasan kelas pemulihan khas adalah bergantung kepada kekosongan bilik darjah. Kini, kelas pemulihan khas telah mengalami transformasi dan mempunyai kelengkapan yang terbaik bagi menghasilkan kelas yang kondusif .
Konsep pendidikan pemulihan khas seterusnya ialah pengajaran pemulihan adalah berdasarkan kepada diagnosis[6]kelemahan dan kesulitan yang dihadapi oleh murid-murid tersebut. Sebelum mereka ditempatkan di kelas pendidikan pemulihan khas mereka akan mengikuti prosedur-prosedur seperti yang terdapat dalam carta alir pelaksanaan program pendidikan pemulihan khas seperti mengenal pasti murid yang menghadapi masalah pembelajaran dan membuat penilaian awal atas mereka. Pendekatan secara individu, misalnya mengadakan kelas khas yang kecil dan kurikulum yang anjal yang boleh diubahsuai bagi membolehkan murid-murid ini menguasai kemahiran membaca, menulis.dan mengira. Dalam mengajar sesuatu kemahiran , guru pendidikan pemulihan khas hendaklah mempermudahkan gerak kerja dalam proses pengajaran dan pembelajarannya supaya murid boleh melaksanakannya, mendapat kepuasan dan menguasai kemahiran yang diajar.
2.2  Elemen II: Struktur dan Kaedah Pengajaran
Kementerian Pendidikan Malaysia telah melaksanakan kaedah pengajaran Pendidikan Khas melalui dua Pendekatan Sekolah Pendidikan Khas bagi murid bermasalah penglihatan dan bermasalah pendengaran. Program Pendidikan Khas Integrasi disediakan untuk murid-murid bermasalah pembelajaran, bermasalah pendengaran dan penglihatan. Program integrasi[7] dijalankan dengan kerjasama Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah harian yang mana sekolah ini dikategorikan sebagai Sekolah Program Pendidikan Khas Integrasi. Terdapat enam buah sekolah di bawah kategori sekolah ini antaranya Sekolah Menengah Vokasional (EAT) Azizah, Johor Bharu; Sekolah Menengah Teknik Langkawi, Kedah; Sekolah Menengah Teknik Batu Pahat, Johor; Sekolah Menengah Vokasional Bagan Serai, Perak.
Mengenai Pelajar Cacat Pendengaran, kajian yang dijalankan adalah melibatkan pelajar cacat pendengaran dari aliran teknik dan vokasional sekolah pendidikan khas. Berdasarkan kepada pernyataan Chua Tee Tee dan Koh Boh Boon (1992) bahawa kanak-kanak pekak boleh
dikatakan lebih tepat sebagai seorang yang rosak pendengaran kerana dalam kebanyakan contoh, ia mempunyai pendengaran separa. Di dalam Sistem Pendidikan Khas, pelajar-pelajar dengan keperluan khas dalam kategori masalah pendengaran telah menggunakan Program Pendidikan Khas Bermasalah Pendengaran dimana murid-murid ini dilatih daripada segi pertuturan dan belajar subjek-subjek yang dipelajari oleh murid-murid biasa dengan menggunakan komunikasi seluruh bahasa isyarat.
Program ini disediakan di dua tempat, iaitu di sekolah khas dan juga di sekolah biasa (program integrasi). Tempoh belajar bagi pelajar berkeperluan khas rendah adalah 6 tahun, manaKala tempoh pelajar bagi pelajar berkeperluan khas menengah adalah 5 tahun. Tempoh  ini boleh  dilanjutkan hingga 2  tahun maksimum sama ada peringkat  rendah  atau  menengah  mengikut keperluan pelajar  berkenaan (Jabatan Pendidikan Khas, 2004, Kementerian Pendidikan Malaysia).
Pendidikan Inklusif pula dalam konteks pendidikan khas adalah pendidikan yang diberikan kepada murid-murid dengan keperluan pendidikan khas yang belajar bersama-sama dengan murid-murid normal, di dalam kelas yang sama dan diajar oleh guru biasa. (Haji Sabri Salleh. Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, 1996). Pendidikan Inklusif menumpukan perhatiannya ke arah pengsealiran pelajar-pelajar berkeperluan khas di sekolah-sekolah normal. Matlamatnya ialah memberi peluang kepada pelajar-pelajar tersebut menerima pengajaran, pembelajaran dan menyertai semua aktiviti-aktiviti yang terdapat di sekolah bersama-sama pelajar normal.
Bagi kumpulan murid dalam spektrum ketidakupayaan yang ringan, sederhana dan teruk dengan pelbagai tahap kefungsian daripada yang tinggi hingga rendah, telah digubal satu kurikulum khas untuk mereka iaitu Kurikulum Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran (PKBP). Kurikulum ini digubal berasaskan kepelbagaian keupayaan individu berkeperluan khas yang tidak dapat menerima manfaat daripada program pendidikan arus perdana. Reka bentuk kurikulum yang dibina adalah bersifat fleksibel bagi membolehkan guru mengembangkan bakat dan potensi sedia ada.
Matlamat selanjutnya supaya pelajar-pelajar berkepeluan khas dapat menyesuaikan diri dari awal-awal lagi dalam semua aspek kemasyarakatan yang terdapat di sekolah dan di dalam komuniti setempat dengan tujuan menjadikan mereka lebih berupaya mampu berdikari dan menjadi anggota masyarakat yang menyumbang (Mohd Siraj Awang. 1996). Program inklusif yang dijalankan bukanlah inklusif sepenuhnya tetapi lebih kepada bentuk integrasi. Kerana kebanyakkan KKBP yang memasuki program ini belum menguasai 3M sepenuhnya. Oleh itu amat sukar KKBP untuk diinklusifkan[8] dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Matematik.
Jumlah pelajar di sekolah pendidikan khas bermasalah penglihatan ialah 337  berbanding dengan 2236 pelajar di sekolah pendidikan khas bermasalah pendengaran.Terdapat kira-kira 99 guru pendidikan khas yang mengajar pelajar bermasalahpenglihatan berbanding dengan 531 guru pendidikan khas yang mengajar pelajar bermasalah pendengaran di seluruh negara. Secara umum, pada tahun 2002 daripada jumlah pelajar yang mengikuti program pendidikan khas  yang dikelolakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, 70% terdiri daripada pelajar bermasalah pembelajaran, 25% bermasalah pendengaran dan 5% bermasalah penglihatan
Kurikulum Pendidikan Khas bermatlamat untuk menyediakan ilmu pengetahuan dan kemahiran melalui proses pengajaran dan pembelajaran yang fleksibel untuk memenuhi keperluan individu dengan pelbagai tahap keupayaan ke arah kehidupan bermakna. Selain itu, kurikulum ini juga menetapkan satu bentuk pengajaran yang tidak terikat, iaitu aktiviti-aktiviti pembelajaran boleh dibentuk mengikut keperluan dan keupayan murid melalui bidang- bidang seperti pengurusan kehidupan, akademik berfungsi, kerohanian dan nilai – nilai murni, serta sosial, riadah dan kreativiti
Dalam setiap bidang utama tersebut, masing-masing terdapat komponen-komponen kecil seperti berikut:
a)      Bidang Pengurusan Diri
  • Komponen Pengurusan Diri
  • Komponen Kemahiran Manipulatif
  • Komponen Pengurusan Tingkah laku
  • Komponen Kemahiran Hidup
b) Bidang Kerohanian dan Nilai-Nilai Murni
  • Komponen Pendidikan Agama Islam
  • Komponen Pendidikan Moral
c) Bidang Akademik Berfungsi
  • Komponen Bahasa Melayu
  • Komponen Matematik
  • Komponen Bahasa Inggeris
  • Komponen Multimedia
d) Bidang Sosial, Riadah dan Kreativiti
  • Komponen Pendidikan Jasmani
  • Komponen Pendidikan Seni
  • Komponen Pendidikan Muzik, Gerakan dan Drama
  • Komponen Sains, Sosial dan Alam Sekitar
Melalui proses pengajaran dan pembelajaran yang fleksibel dan bersepadu diharapkan dapat melahirkan individu yang memiliki ciri-ciri seperti mampu berdikari, berdisiplin dan bersikap positif, bermoral dan beretika, berkemahiran dan berketerampilan, serta produktif dan boleh menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan Negara. Walaupun pelajar-pelajar pendidikan khas adalah pelajar yang mempunyai kekurangan dari segi fizikal, pendengaran, penglihatan dan percakapan, penilaian tetap di utamakan untuk mereka mengikut tahap persekolahan mereka. Berdasarkan Buku Maklumat Pendidikan Khas JPN, Sabah (2009) menggariskan empat peringkat penilaian iaitu:
                                i.            Pra Sekolah Pendidikan Khas
Program Pra-sekolah Pendidikan Khas di jalankan untuk murid-murid yang mempunyai masalah pendengaran dan penglihatan. Program Pendidikan Khas Pra-sekolah Integrasi: program ini di jalankan di sekoalah aliran perdana yang melaksanakan Program Integrasi Pendidikan Khas. Syarat kemasukan ke pra-sekolah:
  • Berumur 4 tahun
  • Di sahkan oleh pengamal perubatan
  •  Boleh mengurus diri tanpa bantuan orang lain
                              ii.            Pendidikan Rendah
Semua sekolah rendah pendidikan khas bermasalah pendengaran dan penglihatan menawarkan aliran akademik dan menggunakan kurikulum kebangsaan. Pelajar-pelajar ini akan menduduki Ujian Pendidikan Sekolah Rendah semasa di darjah 6. Pelajar-pelajar berkeperluan khas yang mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi boleh mengikuti kurikulum kebangsaan atau kurikulum alternative. Bagi pelajar-pelajar bermasalah pendengaran dan bermasalah penglihatan mereka menggunakan kurikulum kebangsaan manakala pelajar-pelajar bermasalah pembelajaran menggunakan kurikulum alternative. Mereka yang berkemampuan untuk mengikuti kurikulum kebangsaan akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Syarat kemasukan murid ke Program Pendidikan Khas Kementerian Pelajaran Malaysia ialah
  • Berumur 6 hingga 14 tahun
  • Di sahkan oleh pengamal perubatan
  • Boleh mengurus diri tanpa bantuan orang lain
                            iii.            Pendidikan Menengah
Murid bermasalah pendengaran dan penglihatan mengikuti pendidikan menengah aliran akademik di sekolah menengah yang mempunyai Program Pendidikan Khas. Manakala murid bermasalah pembelajaran yang tidak dapat mengikuti pembelajaran biasa akan mengikuti pendidikan yang penilaiannya akan dibuat berdasarkan pencapaian mereka di peringkat sekolah. Pelajaran menengah menyediakan 2 jenis aliran iaitu akademik dan vokasional.
Syarat kemasukan murid ke peringkat menengah Program Integrasi Pendidikan Khas, Kementerian Pelejaran Malaysia ialah
  • Berumur 12 hingga 19 tahun
  •  Di sahkan oleh pengamal perubatan
  •  Boleh mengurus diri tanpa bantuan orang lain
IV. Program Pemulihan Khas
Ujian diagnostik adalah ujian yang terpenting dalam Program Pendidikan Pemulihan Khas. Ujian ini digunakan untuk membantu guru pemulihan khas mengesan daerah-daerah kelemahan dan kekuatan yang dihadapi oleh setiap murid. Ujian Diagnostik wajib dijalankan dengan tujuan untuk membantu guru pemulihan khas mengesan kawasan-kawasan kelemahan dan kekuatan yang dihadapi oleh seseorang murid secara khusus dan seterusnya membentuk objektif pengajaran (baseline). Ujian ini dibentuk bukan untuk menilaiperingkat pencapaian tetapi untuk mengesan masalah-masalah yang dialamiketika belajar dan mengnal pasti punca kegagalan murid dalam menguasai sesuatu kemahiran.
Program ini merupakan satu program yang disediakan bagi membantu pelajar mengatasi masalah belajar yang khusus dalam penguasaan 3M. Murid yang dikenal pasti sebagai belum menguasai kemahiran asas 3M pada tahap satu akan mengikuti Program Pemulihan Khas. Program ini dilaksanakan hampir semua sekolah rendah. Program yang dijalankan ialah Program Pendidikan Pemulihan Khas Tahap Satu Murid disaring dengan menggunakan Instrumen Penentu penguasaan IPP3M/ IPP2M . IPP3M terbahagi kepada IPP3M1 untuk murid tahun 1 dan IPP3M untuk murid tahun 2 IPP3M3 untuk murid tahun 3.
Penganalisaan keputusan hendaklah dikumpul dan direkodkan dan diberi interpretasi dengan cermat untuk mempastikan masalah-masalah murid. Keputusan analisa ujian diagnostik akan menunjukkan daerah-daerah kelemahan dan kekuatan seseorang murid dalam menguasai sesuatu kemahiran. Cara ini dapat membantu guru mengenal pasti kumpulan tertentu mengikut kebolehan dan daerah-daerah kesukaran yang dihadapi. Analisa kesalahan ujian tersebut dapat membantu guru merancang satu program pengajaran yang khusus kepada seseorang individu atau kepada satu kumpulan dengan lebih tepat dan sistematik. Berdasarkan kepada analisa kesalahan ujian diagnostik tersebut, guru pemulihan akan dapat mengenal pasti daerah-daerah kelemahan murid yang telah dipilih. Daerah-daerah kelemahan itu akan membantu guru untuk memilih kemahiran yang tepat untuk memulakan proses pengajaran dan pembelajaran.
Antara manual penyediaan pengajaran yang perlu disediakan oleh guru resos dan guru kelas untuk program pendidikan khas bermasalah pembelajaran adalah seperti berikut.
  1. a.      Waktu Persekolahan
  2. b.      Ratio /Nisbah Guru dan Murid.
  1. Program Itergrasi ini akan dijalankan 5 hari dalam seminggu pada hari Isnin-Jumaat dari jam 8.00 Pagi – 12.00 Tengahari.
    1. Kanak-Kanak akan digalakkan mengikuti aktiviti kokurikulum seperti Pasukkan beruniform ini adalah program intergrasi dengan kanak-kanak normal.
Hitung panjang seorang tenaga pengajar akan dikehendaki mengajar seramai lima hingga tujuh (5-8) murid. Itupun bergantung kepada masalah yang dihadapi oleh murid.
Ratio guru adalah 1.5 setiap kelas.
  1. c.       Peruntukkan Jawatan Guru Resos.-
Seorang guru resos dikenalpasti dan ditugaskan untuk tujuan program Pendidikan Inklusif di Sekolah Menengah. Jawatan guru tambahan diberi untuk mengganti guru resos dalam kelas biasa.
  1. d.       Jenis-Jenis Masalah Pembelajaran.
Pelajar yang terdapat di program ini adalah terdiri daripada golongan, lemah dalam pelajaran – “Slow Learner”, autistic, Down’s syndrome, terencat akal ringan, hyperaktif, cerebral Palsy. Pada masa yang sama, pelajar ini mestilah boleh menguruskan diri seperti makan, berpakaian dan ke tandas sendiri.
  1. e.       Aktiviti yang akan dijalankan.
Selain daripada pembelajaran dibilik darjah program ini akan juga menyediakan aktiviti [9] untuk kanak-kanak seperti berikut:
  • Jurupulih anggota.
  • Jurupulih cara kerja.
  • Jurupulih pertuturan.
  • Latihan renang.
  • Kaunseling ibubapa/murid.
  1. f.        Kemudahan Asas Untuk Pelajar Khas
  • Kerusi meja seperti pelajar-pelajar normal.
  • Buku Teks mengikut kemampuan tahap KKBP walaupun berada disekolah menengah.
  • Bahan-bantu mengajar boleh diubah suai oleh guru resos dan Jawatankuasa akademik.
  • Bahan rujukan/peralatan tambahan – atas kebijaksanaan/ inisiatif pihak sekolah.
  1. g.      Aktiviti Luar.
Program ini juga akan membuat program lawatan sambil belajar ke tempat-tempat yang difikirkan sesuai untuk memberi pendedahan kepada pelajar. Untuk melaksanakannya, program ini akan menubuhkan Badan Kebajikan Kelas Khas.[10]
2.3  Elemen III: Bahan Bantu Mengajar
Menurut Akta Pendidikan 1996, Bab 8 Pendidikan Khas, Seksyen 41, Subseksyen (1) (B) Peraturan-peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 1997, guru boleh mengubahsuai kaedah atau teknik pengajaran dan pembelajaran, masa bagi aktiviti dan susunan aktiviti, mata pelajaran dan bahan bantu mengajar dalam melaksanakan kurikulum pendidikan khas bagi mencapai tujuan dan matlamat pendidikan khas itu.Pendekatan yang diambil dapat menentukan komposisi yang terbaik dan sesuai untuk murid bermasalah dalam pembelajaran. Mereka yang tidak kurang dari segi attitud atau intelek turut diberi sokongan untuk menguasai kurikulum arus perdana agar potensi mereka dapat dipertingkatkan secara menyeluruh dan optimum.
Bahan bantu mengajar sama ada elektronik atau bukan elektronik adalah bahan sokongan yang penting untuk meningkatkan kefahaman murid-murid di samping mengekalkan minat belajar. Selain itu bahan bantu mengajar juga dapat menjelaskan mesej yang ingin disampaikan. Proses pengajaran yang disertakan juga dapat menjelaskan mesej yang ingin disampaikan. Dale (1969) menyatakan bahawa pengajaran dapat ditingkatkan dengan berkesan bila dibantu dengan media yang membolehkan pengalaman dalam ingatan. Penglibatan melalui pengalaman merupakan cara yang paling berkesan dalam pembelajaran.
Analisis dapatan kajian yang dilakukan oleh Charlie Anak Ungang berkenaan Penggunaan Bahan Bantu Mengajar dalam Kemahiran Asas Membaca di Kelas Pemulihan menunjukkan bahawa nilai min yang tinggi iaitu 3.60 dan peratus sebanyak 60% bersetuju dan 20% amat bersetuju menyatakan bahawa penggunaan bahan bantu mengajar membolehkan pengajaran. Keputusan ini bertepatan dengan pendapat Mohd Daud Hamzah (1990) yang menyatakan bahawa semakin banyak pancaindera yang dilibatkan semakin banyak pengalaman pembelajaran yang diperolehi bagi mengembangkan keintelektualan pelajar dengan berkesan. Keputusan ini menunjukkan bahawa guru bukan lagi menggunakan kata, suara, isyarat, papan tulis dan kapur sahaja dalam menyampaikan pengajarannyaterutama sekali kepada pelajar-pelajar pemulihan dalam menguasai kemahiran asas bacaan.
Namun demikian, wujudnya permasalahan berkaitan dengan bahan pengajaran untuk guru-guru Pendidikan Khas ini.  Mereka bemasalah untuk membina alat bantu mengajar dengan menggunakan kreativiti sendiri tanpa bantuan orang lain. Perkara ini mungkin disebabkan kebanyakkan guru-guru ini tidak mempunyai pendedahan yang cukup untuk membuat alat bantu mengajar bagi pelajar-pelajar Pendidikan Khas ini, serta kurangnya alat bantu mengajar yang disediakan oleh pihak lain. Situasi ini disokong melalui kajian Charlie Anak Ungang yang mendapati bahawa 60% daripada responden menyatakan bahawa kelengkapan bahan bantu mengajar di sekolah tidak lengkap. Keadaan sebegini menurut Koh Boh Boon (1987) menjadi tekanan kepada guru pemulihan yang akan membawa kesan yang negatif kepada pelaksanaan program pemulihan di sekolah.
Setakat ini kebanyakan daripada guru-guru pemulihan terpaksa berkongsi dengan rakan-rakan lain untuk menggunakan bekalan am yang sedia ada di sekolah. Ini menimbulkan rasa tidak senang di kalangan mereka kerana didapati guru pemulihan memerlukan bahan yang lebih daripada guru lain. Responden juga mencadangkan agar pihak Jabatan Pendidikan Daerah, melalui peruntukan bekalan am yang ada dapat membekalkan bahan bantu mengajar yang sedia ada di pasaran untuk diagih-agihkan kepada kelas pemulihan, sebagai satu usaha meringankan beban guru dalam penyediaannya.
Langkah seterusnya ialah dengan mengadakan kursus, bengkel dan latihan dalaman untuk membantu guru-guru pemulihan menyediakan bahan bantu mengajar dalam pengajaran mereka dalam asas bacaan dalam kelas pemulihan.Chua Tee Tee dan Koh Boh Boon (1992) menyatakan bahawa oleh kerana guru pemulihan ditugaskan untuk menolong murid lambat dalam penguasaan 3M, maka adalah baik jika mereka didedahkan kepada konsep dan amalan yang terbaru dalam pemulihan kesukaran asas membaca melalui penggunaan teknologi pendidikan yang terkini bersesuaian dengan tahap perkembangan pelajar pemulihan.
Seiring pembangunan ICT yang semakin maju di negara kita, Abdul Rahim Razalli, Noor Aini Ahmad dan Kamaliah Ahmad (2005), memperlihatkan menerusi kajian mereka bahawa teknologi komputer mampu memudahkan pelajar-pelajar khas, terutamanya pelajar-pelajar bermasalah tingkah-laku dan bermasalah pembelajaran, mempelajari kemahiran membaca, menulis, dan mengira. Penggunaan multimedia dalam pendidikan banyak menarik minat pelajar dalam pembelajaran kerana ia menarik, senang digunakan, terdapat kepelbagaian seperti penambahan muzik, video, demonstrasi, malah pemahaman mereka menjadi lebih berkesan melalui penerangan melalui gambar-gambar dan tayangan secara langsung (Plamen & Rodgers, 2003).
Menurut Tan Ai Goh (1998), penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran bukan sahaja membantu guru mencapai objektif pedagoginya[11], malah ia memberi peluang kepada pelajar untuk mencuba cara pembelajaran yang baru. Sokongan daripada pihak pentadbir juga banyak memainkan peranan sejauh mana penerimaan komputer di kalangan guru dan pelajar pendidikan khas. Ia turut dinyatakan oleh Zoraini Wati Abas (1995) di mana sikap positif yang diterapkan oleh pentadbir terhadap penggunaan komputer dalam pengurusan sekolah merupakan laluan terhadap penggunaan komputer dalam pentadbiran sekolah di masa akan datang. Melalui sikap positif yang ditunjukkan oleh pentadbir sekolah, ia akan mempengaruhi sikap semua kakitangan sekolah.
Antara contoh penyediaan bahan batu mengajar yang sesuai digunakan di semua bilik darjah pendidikan khas bermasalah pembelajaran ialah kelas hendaklah dilengkapi dengan bahan-bahan asas untuk melicinkan pengajaran dan pembelajaran. Bahan ini berubah mengikut kemampuan dan kepentingan individu dan cara pengendalian bahan tersebut. Tanpa pengetahuan dan cara pemakaian, Bahan tersebut akan menjadi gajah putih dalam kelas dan membazir sahaja. Bahan-bahan ini dapat dikategorikan sebagai:
        i.            Bahan Keperluan Asas
Bahan ini digunakan untuk menyediakan bahan bantu mengajar yang mudah dan rencam bertujuan untuk menarik minat murid-murid terhadap pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan
  • Bahan carta : wall pocket: RPI, data murid, dll
  • Kelengkapan menulis, bahan dinding dan Bahan tekapan getah
      ii.            Bahan Pusat Sumber
  • Bahan buku yang boleh digunakan sebagai bahan rujukan, bahan bacaan, atau bahan pengulangandalam bacaan dan sebutan untuk membina pengamatan yang baik terhadap subjek pengajaran dan pembelajaran
  • Bahan-bahan maujud yang boleh mendekatkan kefahaman murid-murid kepada sesuatu topik semasa atau tolik silam
  • Bahan hasil kerja murid yang boleh dipamer untuk meransang proses pembelajaran
  • Bahan rakam-OHP, VCR, VCD, TV dan komputer
  • Bahan pengemas-sarung plastik, laminator dan lain-lain
    iii.            Bahan-bahan matematik
  • Bahan yang boleh digunakan untuk mengenal bentuk, warna dan nilai
  • Bahan yang meransang kepada mengenal nombor, waktu, berat, tinggi dan panjang
  • Bahan yang boleh melatih murid mengira wang dan nombor
  • Bahan pengamalan tambah, tolak, baki, darab, bahagi.
    iv.            Bahan-bahan bahasa melayu
  • Bahan mengenal bentuk dan nama, sudut bercerita, bahan-bahan potongan akhbar dan bahan-bahan bacaan yang lain, bahan bacaan bergred, kad dan lain-lain
      v.            Bahan-bahan pendidikan seni
  • Sudut penghayatan seni
  • Bahan-bahan melukis dari pelbagai jenis
  • alatan pembancuh warna
  • apron
  • Bahan kerja tangandari bahan terbuang, rotan, kertas dsb
  • Bahan-bahan lukisan tentang haiwan
    vi.            Bahan-bahan pendidikan muzik : Radio, VCD, alat gendering, Kaset-kaset, Kastenet, Tamborin
  vii.            Bahan-bahan urus diri : Sinki,  basuh muka, cermin muka, bahan-bahan pembersih diri yang sesuai
  1. viii.             Bahan-bahan pendidikan agama islam: Papan rehal, sejadah, tasbih, al-quran, kitab, telekong, songkok, kaset nasyid dan bacaan ayat-ayat al-quran, buku-buku cerita nabi dan lain-lain
    ix.            Peralatan pendidikan jasmani: Bahan-bahan permainan padang, sekital dan gelung rotan, pundi kacang/ beg pasir, bola berbagai saiz
      x.            Bahan-bahan rekreasi luar/dalam : trampoline, gelongsor, petak pasir, tali lompat
    xi.            Bahan-bahan permainan dalam : catur, dam, dam ular, monopoli dan lain-lain
  xii.            Peralatan vokasional
  • Peralatan yang boleh meransang kognitif dan memajukan daya pemikiran
  • peralatan dapur, peralatan jahitan
  • peralatan berkebun
  • peralatan bengkel/pertukangan kayu
  1. xiii.            Bahan-bahan latihan mengikut keupayaan murid
  • Peralatan pengawalan pernafasan
  • bahan-bahan terapi pertuturan
  • bahan-bahan latihan untuk murid palsy selebral yang ringan
  • bahan latihan pergerakan yang difikirkan perlu
Penggunaan bahan bantu mengajar yang bersesuaian seperti contoh yang diberikan tersebut sememangnya mendatangkan faedah kepada guru dan murid pendidikan pemulihan hanya apabila ia digunakan secara berkesan. Mok Soon Sang (1995) menyatakan bahawa seseorang guru yang proaktif ialah guru yang sentiasa berusaha mempertingkatkan prestasi pelajarnya mempelajari sesuatu kemahiran bacaan dengan berkesan dengan menitikberatkan penggunaan bahan bantu mengajar sebagai landasan utama bagi mencapai hasrat itu. Justeru itu, menurut Mat Nor Husin (1988), yang menyatakan jika alat bantu mengajar digunakan dengan cara yang betul dan sesuai didalam sesuatu situasi pengajaran, objektif ini boleh dicapai iaitu menyediakan satu asas yang kuat untuk sesuatu konsep dan boleh menghasilkan pembelajaran yang kekal.
Rumusan
Hasil daripada perbincangan berkenaan tiga elemen utama dalam Akta Pendidikan Khas yang terkandung dalam Akta Pendidikan 1996 ini ialah  akta ini telah memberi impak yang besar terhdap pengimplementasian  Program Pendidikan Khas di peringkat National.  Antaranya ialah kejayaan pelaksanaan pendidikan inklusif iaitu apabila pada sesi persekolahan 1994/95 telah bermula projek rintis 14 buah sekolah di Malaysia bagi program KKBP. Seterusnya, Kewujudan Jabatan Pendidikan Khas. Jabatan ini berkesan dalam memantau Perjalanan Program Pendidikan khas selaras dengan akta pendidikan. Lebih membanggakan, murid-murid Pendidikan Khas telah berpeluang belajar telah dilanjutkan keperingkat lebih tinggi selepas PMR dan SPM seperti ke Politeknik dan Sekolah vokasional. Wujudnya JPK memudahkan Kementerian Pelajaran menyalurkan bantuan kewangan. Dari aspek  hak bersuara dari ibu bapa, terlaksananya akta ini membolehkan mereka mendesak kerajaan menubuhkan sekolah khas sejak peringkat pra lagi. Bagi pihak kerajaan pula akta ini membolehkan seseorang pelajar khas yang belum bersedia ditolak penempatanya setelah tamat tempoh percubaan. Akhir sekali, Akta Pendidikan 1996  (Bah.11/4) dan akta pelajaran 116 keseluruhannya dilihat sangat fleksibel kerana membolehkan pihak guru mengubahsuai kurikulum, kaedah atau teknik p&p mengikut kesesuaian dan kemampuan murid. Diharapkan elemen-elemen yang dibincangkan iaitu pengajaran pemulihan, kaedah pengajaran dan bahan bantu mengajar ini sentiasa dipantau dari masa ke semasa dan dikemaskini selaras dengan modul pembelajaran terkini yang sentiasa bersifat dinamik dan seimbang.
Bibliografi
Abdul Rahim Razalli, Noor Aini Ahmad & Kamaliah Ahmad. (2005). “Aplikasi Pengajaran dan               Pembelajaran Komputer untuk Pelajar Berkeperluan Khas”. Prosiding ICT Education.       Putra Jaya, Malaysia: Universiti Multimedia.
Abdul Rahman Rashid. (1995). Kepentingan alat bantu mengajar dalam pengajaran bahasa.                        Jurnal Teknologi Pendidikan. KPM. KualaLumpur.
Baharom Mohamad (2011), Teknologi Komunikasi dan Maklumat dalam Program Pendidikan      Khas Aliran Teknik dan Vokasional di Malaysia, Vol (1)1, 41-58. Retreived from          http://atikan-jurnal.com/2011/05/baharom-mohamad/
Charlie Anak Ungang (2008), Penggunaan Bahan Bantu Mengajar dalam Kemahiran Asas            Membaca di Kelas Pemulihan: Kajian Kes di Lima Buah Sekolah Daerah Serian.Jurnal                        Penyelidikan IPBL, Jilid 8, 84-97.
Chua Tee Tee & Koh Boh Boon. (1992). Pendidikan Khas dan Pemulihan:Bacaan Asas. Dewan Bahasa dan pustaka. Kuala Lumpur.
Chua, T. T. (1970). Pendidikan Khas di Malaysia. Journal Kementerian Pelajaran Malaysia,         him, 91-94.
Dale R. E.. (1969). Audio Visuals Methods in Teaching. Holt Richert & Wilson  Publications. New York. USA.
Garis Panduan Pelaksanaan Program Pemulihan Khas 2008. Jabatan Pendidikan Khas,   Kementerian Pelajaran Malaysia.
Kamus Dewan, Edisi Baru (1991). Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan      Bahasa dan Pustaka.
Mok S. S. (1995). Asas Pendidikan I: Pedagogi sebagai Suatu Proses. Terbitan      Kumpulan Budiman Bhd.Kuala Lumpur.
Wong H. S dan Sandiyao Sebestian (2002), Pendidikan bagi Komuniti Orang Kurang       Upaya. Issues in Education, Volume 25, Universiti Malaya.
Zoraini Wati Abas. (1995). “Going Global on the Internet: What’s in it for the Educator”. Proceeding on the Educomp 94 Vision for Teaching and Learning. Kuala Lumpur:      Malaysian Council for Computer in Education 2.

[1] Kemahiran membaca, menulis dan mengira
[2] Visual ialah alat yang dapat menyediakan rujukan konkrit yang lebih baik daripada pernyataan secara lisan atau bertulis
[3] Teknologi Maklumat dan Komunikasi
[4] Spastic – Bahagian-bahagian otot anggota yang spastic manjadi tegang dan tidak mudah kendur semula. Pantulan yang terhasil adalah secara terserentak dan mengejut.. Spastik merupakan salah satu daripada kecacatan Cerebral Palsy
[5] iaitu mereka yang lembab dan gagal menguasai kemahiran-kemahiran yang diajar oleh guru dalam kelas biasa berbanding dengan murid-murid lain
[6] penentuan jenis penyakit dng cara meneliti (memeriksa) gejala-gejalanya
[7] pelajar-pelajar menyesuaikan diri ke dalam sistem persekolahan yang tidak menyediakan ruang dan kemudahan
untuk pengubahsuaian
[8] Di antara mata pelajaran yang dirasakan boleh diinklusifkan atau diintegrasikan adalah pendidikan seni, pendidikan jasmani dan pra vokasional
[9] semua aktiviti diatas memerlukan pakar dalam bidang masing-masing dan mendapatkan kerjasama dari pihak hospital dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
[10] Badan Induk PIBG sekolah dan Guru Besar sebagai penasihat dan Ahli Jawatan Kuasanya  terdiri daripada golongan ibubapa dan guru-guru Kelas Khas.
[11] Pedagogi melibatkkan kajian mengenai proses pengajaran dan pembelajaran, pengurusan bilik darjah, organisasi sekolah dan juga interaksi guru-pelajar.

1 comment:

  1. Terima kasih atas perkongsian ilmu yang begitu berguna.. Mohon izin untuk menggunakan ilmu ini untuk nota saya..

    ReplyDelete